BALING, 19 Oktober: Misi Jelajah Peduli Ummah terus komited dalam usaha membantu mangsa banjir di seluruh negara, khususnya di kawasan yang terjejas teruk seperti di Baling, Kedah. Pasukan Lapangan MAPIM Malaysia kini berada di Kedah untuk hari keempat berturut-turut, menyantuni mangsa-mangsa banjir yang kehilangan harta benda dan tempat tinggal. Bantuan yang disalurkan termasuk makanan panas, bantuan pasca banjir, serta sokongan moral kepada penduduk yang terjejas akibat banjir. Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan dalam membantu komuniti yang memerlukan, terutamanya di saat bencana alam melanda.
Pada Jumaat, 18 Oktober 2024, beberapa aktiviti penting dilaksanakan oleh pasukan MAPIM dan sukarelawan di Kampung Baru, Baling, bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan. Antara aktiviti yang dijalankan ialah pengagihan alatan cucian rumah, penyediaan makanan panas dan agihan foodpack kepada penduduk.
Sebanyak 200 orang menerima alatan cucian rumah yang disediakan oleh MAPIM. Bantuan ini sangat diperlukan untuk membantu penduduk membersihkan rumah mereka yang terjejas akibat banjir, mempercepatkan proses pemulihan dan memastikan kediaman kembali selamat untuk dihuni.
Dalam aspek pemakanan, 500 hidangan makanan panas telah disediakan, terdiri daripada nasi putih, gulai daging, dan ikan masin. Makanan ini diagihkan kepada sukarelawan dan penduduk yang terlibat dalam aktiviti pembersihan. Pemberian makanan ini bertujuan memberi tenaga kepada mereka yang bekerja keras dalam usaha pemulihan kawasan.
Selain itu, sebanyak 100 keluarga menerima foodpack yang mengandungi barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, dan gula. Sumbangan ini membantu memastikan bekalan makanan asas tersedia bagi keluarga yang masih bergelut dengan kesan banjir.
Pasukan MAPIM Malaysia dan Cinta Gaza Malaysia bersama sukarelawan tempatan turut menjalankan aktiviti pembersihan rumah di lima buah rumah yang terjejas. Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada usaha membantu memulihkan kehidupan penduduk yang terkesan dengan lebih cepat, membolehkan mereka kembali ke rumah dalam keadaan yang lebih baik.
Dengan komitmen dan sokongan daripada semua pihak, gerak kerja bantuan berjalan lancar. Semoga usaha ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan memberi manfaat kepada semua yang terlibat, sama ada sebagai penerima atau penyumbang bantuan.
Program Jelajah Peduli Ummah ini, yang kini memasuki tahun ke-7 penganjurannya, merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), dan Zus Coffee. Jelajah ini akan berlangsung dari bulan ini hingga Februari 2025, dengan pelbagai inisiatif diatur bagi membantu komuniti yang terjejas akibat bencana alam seperti banjir, ribut, dan tanah runtuh. Inisiatif seperti ini merupakan manifestasi nyata komitmen berterusan pihak penganjur untuk terus menyantuni rakyat Malaysia yang memerlukan.