Jelajah Peduli Ummah MAPIM di Dun Duyong terima pujian penduduk
Program Jelajah Peduli Ummah (JPU) anjuran MAPIM Malaysia berjaya dilaksanakan di Duyong, Melaka, dengan penglibatan aktif masyarakat setempat serta sokongan penuh ADUN Duyong, YB Datuk Noor Helmy Abdul Halim.
Program dimulakan seawal Subuh dengan solat berjemaah di Masjid Laksamana Hang Tuah yang dipimpin oleh Syeikh Karim Al Makki, disusuli dengan tazkirah oleh Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi. Kehadiran jemaah yang memenuhi ruang masjid sehingga ke luar mencerminkan sambutan hangat masyarakat terhadap inisiatif ini.
Pada sesi pagi, program diteruskan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk sukaneka dan e-sukan, yang mendapat sambutan luar biasa daripada golongan belia dan kanak-kanak. Acara ini bukan sahaja mengeratkan hubungan komuniti tetapi juga menyuntik semangat perpaduan dalam kalangan penduduk.
Selain itu, program ziarah santuni asnaf dan tahfiz turut dilaksanakan, melibatkan pengagihan bantuan ke rumah penerima yang memerlukan, termasuk tiga pusat tahfiz. YB Datuk Noor Helmy sendiri mengetuai penyerahan 160 kotak bantuan asas, diikuti dengan 140 kotak lagi yang dihantar ke lokasi penerima.
“Program ini sangat bermakna, bukan sahaja kerana bantuan yang diberikan tetapi juga kerana pendekatan holistik yang merangkumi aktiviti komuniti, pendidikan, dan kebajikan. Saya amat berpuas hati dan menjemput MAPIM untuk terus berkolaborasi di masa hadapan,” kata YB Datuk Noor Helmy.
Program ini turut menampilkan kemudahan Double Decker Mobile Clinic dan Mobile Kitchen, yang menyediakan perkhidmatan perubatan dan makanan secara percuma. Pendekatan ini menerima pujian daripada penduduk tempatan yang menghargai usaha MAPIM dalam memberi perkhidmatan menyeluruh.
Dengan sokongan daripada pelbagai pihak dan sambutan masyarakat setempat, program Jelajah Peduli Ummah ini terus membuktikan komitmen MAPIM dalam membantu komuniti yang memerlukan di seluruh negara.