
JEDDAH : Jemaah umrah asing yang lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 diluluskan Arab Saudi kini tidak perlu lagi untuk jalani kuarantin di institusi kuarantin.
Kementerian Haji dan Umrah berkata jemaah yang divaksin sepenuhnya kini boleh melakukan perjalanan terus ke kota suci Makkah dan mula melakukan ibadah umrah tanpa memerlukan institusi kuarantin, jelas kementerian itu.
Memetik laporan Saudi Gazette, penambahan sebanyak 30 hari bagi tempoh tinggal di negara tersebut bagi jemaah yang datang dari luar negara.
“Sebelum larangan perjalanan berikutan penularan pandemik Covid-19, jemaah asing dibenarkan tinggal sehingga 30 hari di Arab Saudi.
“Apabila larangan sementara jemaah umrah ditarik balik dan perkhidmatan umrah disambung semula pada 1 November 2020, jemaah asing dibenarkan tinggal selama 10 hari di negara itu,” katanya kementerian itu.
Dalam pada itu, kementerian itu mengingatkan bahawa hanya inokulasi yang diluluskan kerajaan dengan dua dos vaksin coronavirus merupakan syarat yang ditetapkan untuk jemaah umrah dari negara yang tidak termasuk dalam larangan perjalanan.
Namun, jemaah asing yang mengambil suntikan vaksin diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu jalani kuarantin di institusi kuarantin selama tiga hari.
Jemaah berkenaan perlu menjalani ujian makmal PCR selepas 48 jam kuarantin dan akan dibenarkan menunaikan umrah jika mereka mengemukakan laporan PCR negatif.
-AGENSI