Semasa

Jepun hentikan pemberian dos vaksin Moderna

TOKYO : Pemberian suntikan 1.63 juta dos vaksin Covid-19 Moderna di Jepun dihentikan  susulan laporan beberapa lot sudah tercemar, menurut pengeluarnya, Takeda dan Kementerian Kesihatan.

 

Takeda, yang bertanggungjawab terhadap jualan dan pengedaran vaksin Moderna di Jepun, menerima laporan dari beberapa pusat vaksinasi bahawa terdapat pencemaran bendasing dalam beberapa botol vaksin.

 

“Selepas rundingan dengan Kementerian Kesihatan, kami memutuskan untuk menghentikan penggunaan vaksin lot tertentu bermula semalam.

 

“Pihak kami juga sudah memaklumkan perkara ini kepada Moderna dan meminta mereka melakukan siasatan segera,” katanya.

 

Moderna setakat ini belum memberi maklum balas berhubung masalah terbabit.

 

Walau bagaimanapun, Takeda pula tidak menjelaskan lebih terperinci mengenai pencemaran yang dikesan tetapi memaklumkan setakat ini tidak menerima sebarang aduan mengenai masalah kesihatan berpunca daripada dos yang tercemar.

 

Kementerian Kesihatan berkata ia akan bekerjasama dengan Takeda untuk mendapatkan dos vaksin alternatif supaya program inokulasi tidak terjejas.

 

Sekitar 43 peratus penduduk Jepun kini sudah menerima suntikan dua dos tetapi negara itu kini menghadapi peningkatan ketara kes akibat varian Delta yang lebih mudah berjangkit.

 

Dalam pada itu, kira-kira 15,500 mangsa terkorban akibat virus Corona di Jepun setakat ini dan sebahagian besar negara diletakkan di bawah perintah kawalan yang ketat.

– AGENSI

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button