PalestinSemasa

Jerman Belum Putuskan Sokongan terhadap Sekatan EU ke atas Israel – Canselor Merz

Jerman masih belum membuat keputusan sama ada akan menyokong cadangan sekatan Kesatuan Eropah (EU) terhadap Israel susulan serangan ketenteraan besar-besaran di Gaza, kata Canselor Friedrich Merz pada Khamis.

Dalam sidang media bersama Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez di Madrid, Merz berkata walaupun kedua-dua negara berkongsi kebimbangan terhadap penderitaan rakyat Palestin, mereka mempunyai perbezaan pendekatan mengenai sekatan yang dicadangkan.

“Sebagai Jerman, kami tidak berkongsi penilaian kerajaan Israel bahawa matlamat menghapuskan Hamas secara kekal boleh dicapai melalui tindakan ketenteraan ini. Kami mengkritik operasi ini sebagai tidak seimbang, tetapi kami tidak menganggapnya sebagai pembunuhan beramai-ramai,” katanya.

Merz menegaskan Jerman telah menghentikan kelulusan eksport senjata baharu ke Israel sejak beberapa minggu lalu kerana bimbang ia digunakan dalam perang Gaza, dan menyifatkan keputusan itu sebagai langkah yang tepat.

Mengulas cadangan Suruhanjaya EU yang termasuk penggantungan perjanjian perdagangan EU-Israel serta sekatan terhadap beberapa menteri ekstremis Israel, Merz berkata kerajaan gabungan Jerman akan membincangkan perkara itu minggu depan sebelum membuat keputusan muktamad.

“Kami menjangka kedudukan rasmi akan dimuktamadkan sebelum mesyuarat tidak rasmi Majlis EU di Copenhagen pada 1 Oktober,” jelasnya.

AA

Related Articles

Back to top button