DomestikSemasa

Jumlah terkini hutang negara dan audit pegawai menteri jadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Persidangan Dewan Rakyat hari ini memberi tumpuan kepada dua perkara utama, iaitu kedudukan semasa hutang negara dan cadangan pelaksanaan audit dalaman terhadap pegawai menteri. Melalui Aturan Urusan Mesyuarat, Syahredzan Johan meminta Perdana Menteri menjelaskan prinsip kerajaan dalam mengurangkan pinjaman baharu serta strategi pembayaran hutang bagi memastikan defisit fiskal terus berada pada landasan menurun.

Turut dibangkitkan ialah soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengenai sama ada kerajaan akan melaksanakan audit dalaman terhadap pegawai menteri, susulan teguran Perdana Menteri supaya setiap kementerian memperkukuh pemantauan terhadap pegawai mereka. Soalan itu dijangka menjadi antara fokus utama memandangkan ia berkait rapat dengan ketelusan pentadbiran dan keberkesanan kawal selia dalam kalangan anggota pentadbiran.

Dalam sesi soal jawab lisan, Wong Chen meminta penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri mengenai garis masa dan pelan pelaksanaan dasar baharu yang membolehkan pelarian berdaftar mendapat akses pendidikan dan kesihatan melalui NGO atau institusi swasta. Isu perumahan turut dibangkitkan oleh Aminolhuda Hassan yang mempersoalkan mengapa masih ramai rakyat yang layak tidak memperoleh rumah mampu milik meskipun banyak projek diumumkan kerajaan. Beliau juga mahu penjelasan mengenai langkah kementerian menangani projek terbengkalai yang sering menjejaskan pembeli rumah pertama.

Selain itu, Mohd Nazri Abu Hassan mengemukakan soalan mengenai kajian keberkesanan teknologi turapan asfalt terubah suai getah bekuan atau CMA yang digunakan sebagai alternatif kepada teknologi sedia ada dalam kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya.

Selepas sesi soal jawab lisan, Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 diteruskan dengan pembentangan dua rang undang-undang oleh Menteri Sumber Manusia, iaitu RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 dan RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025. Persidangan Dewan Rakyat bagi penggal ini dijadual berakhir pada Khamis.

Sumber: Bernama

Related Articles

Back to top button