Pesakit kanser di Semenanjung Gaza kini berdepan dengan kadar kematian yang meningkat dua hingga tiga kali ganda berbanding sebelum pencerobohan tentera Israel. Peningkatan ketara ini berpunca daripada tindakan Israel yang memusnahkan satu-satunya hospital pakar kanser tempatan serta mengetatkan sekatan pergerakan pesakit untuk keluar mendapatkan rawatan di luar negara.
Menurut laporan agensi berita Reuters yang dipetik oleh TRT World, kemusnahan Hospital Persahabatan Turki-Palestin oleh tentera Israel pada Mac 2025 telah menyebabkan anggaran 17,000 pesakit kanser di Gaza terputus akses kepada rawatan kemoterapi serta penjagaan lanjutan yang kritikal.
Pegawai kesihatan Palestin memaklumkan bahawa seramai 20,000 pesakit—termasuk 5,000 pesakit kanser—kini terkandas dan masih menunggu kelulusan permit keselamatan untuk keluar berubat melalui lintasan sempadan.
Sekatan Pergerakan dan Perlumbaan Melawan Masa
Walaupun perjanjian gencatan senjata Israel-Hamas pada 2025 menetapkan pergerakan keluar masuk secara bebas, pihak tentera Israel terus mengenakan sekatan ketat di pintu sempadan Rafah. Daripada jumlah yang disasarkan, kurang daripada separuh pesakit yang berjaya dipindahkan keluar untuk rawatan di Mesir atau negara lain.
Unit tentera Israel (COGAT) mendakwa pemindahan perubatan diuruskan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan memerlukan kelulusan serta pemeriksaan keselamatan. Namun, prosedur yang melengahkan ini terbukti membawa padat maut bagi pesakit yang memerlukan rawatan segara.
Seorang pesakit kanser ovari peringkat akhir, Khuloud Abu Sahmoud, 33, meluahkan penderitaannya selepas berbulan-bulan menunggu peluang untuk berlepas ke Mesir sementara kansernya merebak ke paru-paru dan tulang.
“Setiap hari penyakit saya semakin teruk, dan keadaan saya sangat tragis. Kuku jari saya semuanya telah gugur — saya tidak mempunyai apa-apa yang tinggal. Saya hanya menunggu untuk mati,” kata ibu kepada dua anak itu.
Kesan Bahan Kimia Bahan Letupan
Pengarah Hospital Al Shifa, Dr. Mohamed Abu Selmia, mengesahkan bahawa kadar kematian harian pesakit kanser kini mencecah antara tiga hingga lima orang sehari kerana ketiadaan bekalan kemoterapi asas.
Sementara itu, pakar bedah Palestin, Dr. Sobhi Skaik, menjelaskan bahawa selain ketiadaan rawatan dan sekatan sempadan, penularan pantas penyakit kanser dalam kalangan penduduk juga dipercayai mempunyai kaitan dengan pendedahan kepada bahan kimia toksik daripada bahan letupan yang diguna pakai oleh tentera Israel sepanjang pencerobohan.
Dianggarkan terdapat sekitar 11,000 pesakit kanser berdaftar sebelum perang, dan Dr. Skaik menganggarkan kira-kira 6,000 lagi penduduk Gaza berkemungkinan telah menghidap kanser tanpa disedari berikutan ketiadaan fasiliti ujian diagnosis yang berfungsi pada masa ini.
Sumber Utama: Reuters & TRT World







