Pasukan tentera Israel dilaporkan telah menyerbu bandar Qusra yang terletak di selatan Nablus, Tebing Barat yang diduduki, serta mengenakan perintah berkurung susulan tindakan peneroka haram yang mengepung beberapa buah keluarga Palestin di kawasan tersebut.
Menurut laporan media antarabangsa TRT World yang memetik laporan saksi tempatan dan agensi berita Anadolu, pasukan tentera dalam skala besar yang melibatkan unit infantri dan puluhan kenderaan tentera telah menceroboh masuk ke bandar berkenaan pada Khamis. Pihak berkuasa Israel mengarahkan semua premis perniagaan ditutup serta memperketatkan kawalan di jalan-jalan utama di tengah-tengah ketegangan yang kian meningkat.
Krisis di Qusra bermula apabila penceroboh haram mendirikan khemah serta struktur sementara berhampiran kediaman rakyat Palestin di kawasan Ras al-Ain. Sejak Ahad lalu, tiga buah rumah kediaman telah dikepung, sekali gus menghalang pergerakan penduduk keluar masuk serta memutuskan bekalan makanan dan keperluan asas penting.
Kecaman Duta Besar AS
Salah sebuah rumah yang terjejas merupakan milik seorang warganegara Amerika Syarikat. Insiden tersebut mendapat perhatian dan kecaman luar biasa daripada Duta Besar AS ke Israel, Mike Huckabee.
Melalui satu kenyataan di platform X, Huckabee menyifatkan tindakan pengepungan oleh peneroka haram itu sebagai satu “tindakan keganasan yang dahsyat” yang bertujuan untuk menakut-nakutkan orang awam.
“Tindakan oleh mereka yang melakukan tindakan keganasan yang dahsyat ini bertujuan untuk menakut-nakutkan dan mengganggu keluarga ini adalah menjijikkan. Tiada alasan untuk kelakuan samseng sedemikian,” tegas Huckabee.
Meskipun tentera Israel dilaporkan campur tangan selepas tindakan diplomasi pihak AS dan mengalihkan khemah peneroka pada Rabu, saksi mengesahkan bahawa kumpulan peneroka haram berkenaan masih berada di kawasan berhampiran. Pihak tentera Israel kemudiannya mengumumkan rancangan mengerahkan satu lagi batalion dalam usaha mengawal ketenteraman.
Ketegangan Berterusan di Tebing Barat
Sejak meletusnya konflik di Gaza pada Oktober 2023, insiden keganasan oleh peneroka haram Israel terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat dilaporkan meningkat secara mendadak.
Di bawah undang-undang antarabangsa, kesemua penempatan haram Israel di Tebing Barat yang kini didiami lebih 500,000 rakyat Israel dianggap tidak sah, di samping menindas kira-kira tiga juta penduduk asal Palestin di wilayah berkenaan.
Sumber Utama: TRT World & Agensi (Anadolu, AFP)







