Keadaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza bertambah parah selepas ribut musim sejuk dan hujan lebat membanjiri kira-kira 70,000 khemah pelarian, ketika serangan tentera Israel serta sekatan kemasukan barangan perlindungan terus berlarutan meskipun perjanjian gencatan senjata telah dimeterai.
Pada Ahad, sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, dilaporkan cedera dalam siri serangan berasingan oleh pihak Israel. Empat daripadanya tercedera selepas dron tentera melepaskan peluru berpandu ke arah orang awam di kawasan Bir al-Naaja, barat Jabalia. Manakala seorang wanita ditembak di bahagian belakang oleh tentera Israel di Kem Qatar, timur kompleks kediaman Hamad di Khan Younis. Bedilan artileri dan tembakan berat turut dilaporkan di selatan Khan Younis, Rafah, serta timur Bandar Gaza.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan tentera Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,610 rakyat Palestin dan mencederakan 5,819 yang lain sejak gencatan senjata dikuatkuasakan pada 10 Oktober 2025.
Dalam pada itu, Pejabat Media Kerajaan Gaza mengesahkan infrastruktur yang rosak serta kekurangan peralatan kecemasan menyukarkan operasi menyelamatkan puluhan ribu keluarga yang khemah mereka ditenggelami air. Pesuruhjaya Kesaksamaan, Kesiapsiagaan dan Pengurusan Krisis Kesatuan Eropah (EU), Hadja Lahbib, menyeru agar akses bantuan kemanusiaan dibuka secara meluas dengan kadar segera. Agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) turut memaklumkan sekitar 1.98 juta penduduk di Gaza kini amat memerlukan tempat perlindungan dan bekalan asas menghadapi musim sejuk.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem, mengecam pihak Israel yang terus menyekat kemasukan bantuan dan bahan perlindungan. Beliau menggesa negara-negara pengantara mengambil tindakan tegas mendesak Israel mematuhi syarat gencatan senjata dan membenarkan bantuan asas disalurkan demi mengekang bencana kemanusiaan yang semakin melumpuhkan.
Sumber Maklumat: TRT World & Agensi







