PalestinSemasa

‘Kebuluran Buatan Manusia’: Setiausaha Luar UK Kecam Israel atas Sekatan Bantuan ke Gaza

Setiausaha Luar United Kingdom, David Lammy, mengecam tindakan Israel yang terus menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan mencukupi ke Gaza, dengan menyifatkan krisis itu sebagai “kebuluran buatan manusia pada abad ke-21.”

Bercakap di Dewan Rakyat Britain pada Isnin, Lammy memberi amaran bahawa reputasi Israel kini semakin merosot di mata generasi muda di seluruh dunia yang menyaksikan krisis Gaza dengan rasa ngeri.

“Mereka tidak dapat memahaminya. Saya menggesa kerajaan Israel untuk berundur dan mengiktiraf kerosakan besar terhadap reputasi mereka sendiri,” tegas beliau.

Lammy merujuk laporan Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang mengesahkan berlakunya kebuluran di Bandar Gaza dan kawasan sekitarnya. Menurutnya, krisis itu kini sedang merebak ke wilayah lebih luas.

Beliau memberi amaran, jika tidak ditangani segera, keadaan akan bertambah buruk. Sejak 1 Julai lalu, lebih 300 orang – termasuk 119 kanak-kanak – dilaporkan meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan.

“PBB dan agensi bantuan berdepan pelbagai halangan dalam usaha mengumpul serta mengagihkan bantuan ke Gaza. Israel pula berulang kali menafikan wujudnya kebuluran, malah menyalahkan agensi bantuan dan Hamas,” katanya.

Dalam ucapannya, Lammy turut mengumumkan tambahan dana sebanyak USD 20 juta (sekitar RM93 juta) untuk bantuan makanan serta rawatan perubatan di Gaza.

“Kita memerlukan tindak balas kemanusiaan berskala besar untuk mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban,” katanya lagi.

Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan kebuluran sedang berlaku di Gaza, dengan menyifatkan situasi di wilayah itu sebagai antara krisis kemanusiaan paling parah di dunia ketika ini.

Sumber: TRT World & Agensi

Related Articles

Back to top button