Covid19Semasa

Kemaskini MySejahtera hadir dengan ciri akses rekod imunisasi kanak-kanak, kesihatan

KUALA LUMPUR : Beberapa ciri baharu dengan perkhidmatan yang lebih baik kini ditawarkan dalam aplikasi MySejahtera bagi memantau maklumat kesihatan individu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu ciapan di Twitter memaklumkan ini termasuk kemudahan bagi melihat rekod kesihatan serta imunisasi kanak-kanak menerusi aplikasi terbabit.

“Rekod saringan kesihatan dan rekod imunisasi anak juga boleh dilihat di MySejahtera.

“Kemas kini aplikasi anda mulai hari ini untuk mendapatkan ciri-ciri baharu ini,” menurut ciapan tersebut.

Menurut beliau, maklumat berkaitan kesihatan dan imunisasi pengguna itu hanya akan dikemaskini dalam aplikasi berkenaan selepas mendapat persetujuan pesakit.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) turut berkongsi bahawa status vaksinasi juga tidak lagi dijadikan sebagai halaman utama di aplikasi tersebut.

Sebaliknya, butiran itu kini telah diasingkan menerusi ruangan lain di aplikasi MySejahtera.

Related Articles

Back to top button