PalestinSemasa

Kerajaan MADANI Terlibat Langsung Dalam Misi Global Sumud Flotilla 2.0 Ke Gaza

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kerajaan MADANI akan terlibat secara langsung dalam misi kemanusiaan antarabangsa, Global Sumud Flotilla 2.0. Misi besar-besaran ini dijangka bakal disertai oleh wakil daripada lebih 80 buah negara dari seluruh dunia.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini, Anwar menegaskan bahawa pembabitan Malaysia dalam misi tersebut merupakan satu kesinambungan perjuangan moral di peringkat global. Beliau menyatakan bahawa misi ini adalah tuntutan keberanian untuk menegakkan keadilan dan hak kemanusiaan bagi rakyat Palestin tanpa mengira batas sempadan, bangsa mahupun agama.

Komitmen padu tersebut dinyatakan selepas Perdana Menteri menerima kunjungan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) merangkap Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM, Datuk Sani Araby, bersama Pengasas Sumud Nusantara, Nadir Al-Nuri di Putrajaya. Dalam pertemuan tersebut, Anwar telah diberikan taklimat terperinci mengenai situasi di Gaza yang kini semakin meruncing akibat sekatan bantuan yang berpanjangan serta penderitaan rakyat yang terus ditekan oleh konflik.

Datuk Sani Araby dan Nadir Al-Nuri turut berkongsi kejayaan Misi Sumud Nusantara terdahulu yang berjaya mengangkat suara rakyat Gaza ke pentas dunia. Anwar menyifatkan perjuangan untuk keadilan di Palestin tidak boleh lagi ditangguhkan demi memastikan sebuah negara Palestin yang merdeka dan bermaruah dapat dicapai.

Sokongan langsung kerajaan ini dilihat sebagai isyarat tegas Malaysia dalam menggerakkan segala usaha diplomatik dan kemanusiaan bagi membantu menamatkan kezaliman serta menghantar bantuan kritikal kepada penduduk Gaza yang terjejas teruk.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button