Kesatuan Eropah (EU) menyatakan kesediaan untuk memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan pelan gencatan senjata Gaza serta membantu dalam tadbir urus peralihan, pemulihan dan usaha pembinaan semula wilayah itu, kata Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa.
Bercakap selepas menghadiri Sidang Kemuncak Keamanan Sharm el-Sheikh di Mesir, Costa menzahirkan penghargaan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi atas peranan mereka dalam menjayakan pelan damai tersebut.
“Kesatuan Eropah komited sepenuhnya untuk terlibat secara aktif dengan semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan pelan keamanan ini. Kami bersedia mengambil bahagian dalam Lembaga Keamanan Antarabangsa dan menyokong semua proses – daripada tadbir urus peralihan, pemulihan hingga pembinaan semula,” katanya dalam satu kenyataan rasmi di Brussels.
Costa turut menegaskan bahawa EU akan memperluas bantuan kemanusiaan sebaik keadaan mengizinkan, sambil mengingatkan bahawa blok itu kekal sebagai penderma kemanusiaan terbesar kepada rakyat Palestin.
Dalam aspek keselamatan, beliau berkata EU akan menyumbang kepada penstabilan Gaza melalui dua misinya sedia ada — Misi Bantuan Sempadan Kesatuan Eropah (EUBAM Rafah) dan Misi Polis EU untuk Wilayah Palestin (EUPOL COPPS) — yang bersedia menyambung semula peranan mereka dalam keselamatan sempadan, latihan dan pembinaan kapasiti pasukan keselamatan Palestin.
“Jalan ke arah keamanan berdasarkan penyelesaian dua negara masih panjang. Namun hari ini kita bersatu dalam tekad untuk merealisasikannya — dengan Israel dan Palestin hidup berdampingan dalam keamanan dan keselamatan, bebas daripada keganasan,” ujar Costa.
Minggu lalu, Trump mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan damai Gaza yang dibentangkannya pada 29 September. Fasa itu termasuk pelaksanaan gencatan senjata, pembebasan semua tawanan Israel sebagai pertukaran tahanan Palestin, serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari Semenanjung Gaza.
Fasa kedua pelan tersebut akan melibatkan pembentukan mekanisme pentadbiran baharu di Gaza, penubuhan pasukan multinasional dan pelucutan senjata Hamas.
Pada Isnin, pembebasan tahanan Palestin dari penjara Israel mula dilaksanakan, susulan tindakan Hamas membebaskan semua 20 tawanan Israel terakhir yang masih hidup.
Sejak Oktober 2023, serangan berterusan Israel telah menyebabkan lebih 67,800 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta menjadikan sebahagian besar wilayah Gaza tidak lagi dapat didiami.
Sumber: Anadolu Agency / Agensi Antarabangsa