PalestinSemasa

Ketua Pembangkang Israel Mulakan Prosiding Penguatkuasaan Terhadap Isteri Netanyahu Berhubung Kos Guaman

Ketua pembangkang Israel, Yair Golan, memulakan prosiding penguatkuasaan undang-undang terhadap Sara Netanyahu, isteri kepada Perdana Menteri sementara Benjamin Netanyahu, susulan kegagalannya melunaskan kos guaman yang diperintahkan mahkamah dalam kes saman fitnah yang sedang berlangsung, lapor media Israel pada Isnin.

Memetik laporan akhbar harian Yedioth Ahronoth, barisan peguam daripada firma guaman EBN Law Firm iaitu Giora Erdinast, Almog Gil-Or dan Yarden Shochat yang mewakili Golan — yang juga Pengerusi Parti Demokrat — mengambil tindakan itu selepas Sara gagal membayar jumlah sebanyak 2,000 shekel Israel (kira-kira AS$620).

Terdahulu, Mahkamah Daerah Lod pada 11 Oktober lalu memerintahkan Sara membayar kos perbelanjaan guaman berkenaan selepas menolak permohonannya untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan Golan terhadapnya.

Menurut laporan itu lagi, peguam Golan telah mengemukakan surat tuntutan pembayaran kepada Sara sebelum 10 November, namun tempoh akhir tersebut berlalu tanpa sebarang bayaran dibuat.

Pertikaian antara kedua-dua pihak tercetus selepas Sara dalam satu wawancara bersama Channel 14 mendakwa Golan sudah berada di kawasan berhampiran Semenanjung Gaza pada jam-jam awal peristiwa 7 Oktober 2023.

“Apabila anda seorang pegawai tentera berpangkat kanan seperti ini dan mendakwa bahawa anda telah berjuang pada 7 Oktober, anda sebenarnya sudah berada di sana sejak awal pagi, lengkap berpakaian dan bersedia,” katanya yang ditujukan kepada Golan, sambil mendakwa pemimpin pembangkang itu berada di lokasi berkenaan “sangat awal” ketika pihak lain “termasuk perdana menteri” belum mengetahui apa yang sedang berlaku.

Golan, yang merupakan mejar jeneral simpanan dalam tentera Israel serta pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Staf dari 2014 hingga 2017 dan Timbalan Menteri Ekonomi dari 2021 hingga 2022, menyelar kenyataan tersebut sebagai “konspirasi palsu” menerusi satu hantaran di platform media sosial X.

Beliau turut menuduh Sara cuba “menulis semula sejarah 7 Oktober dengan menggambarkan mereka yang keluar menyelamatkan nyawa sebagai pengkhianat, manakala pihak yang mengabaikan keselamatan Israel pula diangkat sebagai mangsa.”

Setakat ini, tiada sebarang maklum balas segera daripada Sara mahupun wakil undang-undangnya berhubung prosiding penguatkuasaan terbaharu itu.

Sejak Oktober 2023, serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza telah mengorbankan lebih 74,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 175,000 orang yang kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, selain memusnahkan sekitar 90 peratus infrastruktur wilayah itu dengan anggaran kos pembinaan semula oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencecah AS$71.4 bilion.

Sumber: Agensi Anadolu (Anadolu Ajansı)

Related Articles

Back to top button