Covid19Semasa

KKM nafi dakwaan vaksin Covid-19 tamat tempoh dibekalkan kepada PPV

PUTRAJAYA : Dakwaan bahasa vaksin Covid-19 yang diberikan kepada penerima telah atau hampir luput seperti ditularkan dalam media sosial adalah tidak benar, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Norhaliza A. Halim berkata, sesetengah dakwaan tidak dapat disiasat dengan sewajarnya kerana maklumat lokasi dan tarikh kejadian serta maklumat produk yang terlibat tidak dinyatakan.

Menurutnya, KKM sentiasa memantau bekalan dan tarikh luput vaksin Covid-19 yang diterima oleh Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan Pusat Pemberian Vkasin (PPV) dengan menggunakan Sistem Pengurusan Vaksin (VMS) selain sistem inventori sedia ada yang terdapat di fasiliti terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Berdasarkan semakan, tiada stok vaksin yang luput dibekalkan kepada PSV atau PPV. Penentuan jangka hayat produk farmaseutikal termasuk vaksin Covid-19 ditetapkan berdasarkan ujian kestabilan produk vaksin yang dijalankan oleh pihak pengilang.

“Ujian tersebut dijalankan pada masa nyata untuk suhu penyimpanan tertentu.

“Vaksin Covid-19 telah dibangunkan dalam jangka masa singkat iaitu kurang dari dua tahun sebagai tindak balas kepada wabak tersebut. Ia berbanding tempoh pembangunan biasa sesuatu produk farmaseutikal sekali gus tempoh ujian dijalankan untuk menentukan jangka hayat vaksin adalah terhad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norhaliza berkata, pihak pengilang hanya dibenarkan untuk meletakkan tarikh luput berdasarkan tempoh kestabilan vaksin itu telah diuji pada masa nyata dan bukan secara ekstrapolasi.

Mengulas lanjut, jika pihak pengilang mempunyai data tambahan setelah ujian lanjut dijalankan, permohonan pelanjutan jangka hayat vaksin akan dikemukakan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk dinilai.

Terdahulu, beberapa video dimuat naik yang telah ditularkan di media sosial mendakwa vaksin Covid-19 yang diberikan kepada penerima telah atau hampir luput.

Pelanjutan tempoh jangka hayat produk vaksin Covid-19 juga akan berubah sekiranya terdapat perubahan kepada suhu penyimpanan. Oleh yang demikian, tarikh luput baharu akan diberikan kepada produk tersebut.

Produk masih selamat untuk diadministrasi selagi mana ia belum melangkaui tarikh luput baharu tersebut.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button