
Penyakit kusta disahkan masih wujud di Kelantan dengan lapan kes baharu direkodkan di negeri itu pada tahun lepas, lapor BERNAMA.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, jumlah tersebut melibatkan kadar insiden 0.37 kes bagi setiap 100,000 penduduk. Secara perbandingan, beliau menyatakan sebanyak 381 kes baharu dilaporkan di peringkat nasional pada 2025, dengan kadar insiden 11.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
Dr Mohd Azman mendedahkan sebanyak 516 pesakit kusta masih menerima rawatan di Malaysia pada tahun lepas, dengan kadar prevalens 0.15 bagi setiap 10,000 penduduk. Walau bagaimanapun, kadar prevalens di Kelantan adalah 0.06 bagi setiap 10,000 penduduk, iaitu lebih rendah daripada sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menetapkan kadar prevalens kurang daripada satu kes bagi setiap 10,000 penduduk.
“Kusta atau Hansen’s Disease ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Mycobacterium leprae dan boleh merebak melalui titisan udara daripada pesakit yang belum menerima rawatan ketika batuk, bersin atau bercakap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sempena Sambutan Hari Kusta Sedunia Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 dan Temu Seru Literasi Kesihatan Peringkat Daerah Tumpat.
Beliau memberi jaminan bahawa penyakit itu boleh disembuhkan sepenuhnya jika pesakit mendapatkan rawatan secara konsisten. Antara gejala lazim penyakit itu, katanya, ialah tompok atau ruam berwarna kemerahan atau putih pada kulit yang tidak gatal, disertai kehilangan deria rasa pada bahagian terjejas, selain boleh menyebabkan kerosakan saraf, kelemahan otot dan kelumpuhan saraf muka jika tidak dirawat.
Dr Mohd Azman menekankan bahawa ahli keluarga dan kontak rapat pesakit merupakan golongan berisiko tinggi dijangkiti, justeru pengesanan awal, pemeriksaan kontak dan rawatan segera amat penting bagi mencegah penularan dalam komuniti. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaksanakan pemberian Single Dose Rifampicin (SDR) kepada kontak rapat yang layak bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Sambil menyentuh tema Hari Kusta Sedunia tahun ini, “Leprosy Is Curable, The Real Challenge Is Stigma” atau “Kusta Boleh Disembuhkan, Cabaran Sebenar Adalah Menangani Stigma”, beliau berkata usaha tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa pesakit kusta tidak wajar disisihkan.
“Penyakit ini bukan berpunca daripada santau, keturunan atau balasan atas perbuatan tertentu,” katanya.
Majlis tersebut turut diisi dengan Program Temu Seru Literasi Kesihatan Peringkat Daerah Tumpat bagi meningkatkan keupayaan masyarakat mendapatkan, memahami dan menggunakan maklumat kesihatan untuk membuat keputusan yang tepat berkaitan kesihatan diri, keluarga dan komuniti. Pelbagai aktiviti diadakan termasuk forum kesihatan, pemeriksaan kesihatan dan pergigian, derma darah, jualan Rahmah serta kuiz literasi kesihatan.







