DomestikEkonomiSemasa

Laluan darat dibuka untuk Malaysia – Singapura

Putrajaya : Sejajar dengan peralihan kehidupan fasa mendepani pandemik Covid-19, Malaysia dan Singapura bersetuju membuka sempadan darat kedua-dua negara bagi pengembara yang lengkap vaksinasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengadakan panggilan telefon, dalam kenyataan mereka, kedua -dua pemimpin memutuskan bermula 1 April, Malaysia dan Singapura akan membenarkan semua pengembara yang lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarintin atau melaksanakan ujian Covid-19.

Tambahnya lagi, ini termasuk ujian pra pelepasan dan semasa ketibaan serta terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.

Perdana Menteri berkata, ia merupakan satu lagi kejayaan penting dalam memudah cara perjalanan rentas sempadan dengan jiran terdekat, manakala Malaysia akan membuka sempadan kepada pengembara antarabangsa bermula tarikh yang sama.

“Pengumuman hari ini mencerminkan hubungan baik, kerjasama pelbagai aspek dan hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua negara.

“Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemulihan dengan impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” kata Ismail Sabri.

Hsien Loong pula menyifatkan, Malaysia dan Singapura mempunyai hubungan yang mendalam, mesra dalam pelbagai aspek serta hubungan antarabangsa rakyat yang kukuh.
Jelas beliau, pengumuman semalam merupakan peristiwa penting dalam peralihan kita ke arah kehidupan dengan Covid-19.

“Ia mencerminkan kerjasama kukuh yang dinikmati kedua-dua pihak sepanjang pandemik ini dan akan membantu dua negara muncul lebih kuat daripada krisis ini,” kata Hsien Loong.

Malaysia dan Singapura menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan khususnya dalam pelaksanaan pengurusan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan program vaksinasi bagi penduduk negara masing-masing, yang diakui oleh kedua-dua Perdana Menteri tersebut.

Dua pemimpin itu turut mengambil maklum atas kemajuan yang dicapai dalam meneruskan perjalanan rentas sempadan melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (Udara) dan (Darat).

-Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button