PalestinSemasa

Laporan Dedah Lonjakan 1,800% Insiden Islamofobia dan Anti-Palestin di Kanada

Sebuah laporan kajian mendedahkan insiden kebencian terhadap komuniti Muslim, Palestin dan Arab di Kanada meningkat sehingga 1,800 peratus sejak bermulanya serangan Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023.

Kajian berjudul Harms Against Palestinian, Muslim and Arab Communities in Canada yang dijalankan oleh Hab Penyelidikan Islamofobia Universiti York menganalisis data daripada pelbagai organisasi masyarakat sivil, kumpulan advokasi, dan badan hak asasi manusia.

Menurut laporan itu, peningkatan ketara dicatat di semua wilayah Kanada, merangkumi gangguan, ancaman, diskriminasi di tempat kerja, kehilangan pekerjaan kerana menyokong Palestin, dan serangan fizikal.

Majlis Kebangsaan Umat Islam Kanada (NCCM) memaklumkan pihaknya menerima lonjakan aduan Islamofobia sebanyak 1,300 peratus hanya dalam tempoh sebulan selepas 7 Oktober. Antara Oktober 2023 hingga Mac 2024, Pusat Sokongan Undang-undang Muslim turut merekodkan ratusan aduan pelanggaran hak asasi, majoritinya berkait tindakan terhadap individu atau organisasi yang bersuara menyokong Palestin.

Wakil Khas Kanada untuk Memerangi Islamofobia, Amira Elghawaby, berkata fenomena itu mengingatkan kepada gelombang diskriminasi pasca 11 September, namun kali ini ia lebih dipacu oleh retorik politik dan media sayap kanan.

“Kita melihat penyebaran naratif yang memburukkan Palestin dan Muslim, yang kemudiannya mendorong tindakan kebencian dalam bentuk ancaman, intimidasi, dan diskriminasi sistemik,” katanya.

Laporan itu turut menekankan keperluan kerajaan Kanada mengambil langkah segera bagi membendung gelombang kebencian ini, termasuk mengiktiraf secara rasmi perkauman anti-Palestin, memperkukuh undang-undang berkaitan jenayah kebencian, melatih institusi awam untuk menangani diskriminasi, dan memastikan sekolah melindungi hak pelajar daripada prejudis politik atau etnik.

Kajian berkenaan memberi amaran bahawa kegagalan bertindak bukan sahaja akan memburukkan lagi ketegangan sosial, tetapi turut menghakis prinsip kebebasan bersuara dan hak asasi manusia di Kanada.

Sumber – TRT World

Related Articles

Back to top button