
Lebih 100 kawasan rendah di lima jajahan di Kelantan diramal berdepan banjir bermula hari ini sehingga 30 November, menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran.
Kenyataan PRABN memaklumkan amaran itu dikeluarkan susulan Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada 24 November lepas serta paras air beberapa sungai utama yang dijangka melepasi paras bahaya.
“Antara kawasan yang dijangka terjejas ialah Gua Musang, Kuala Krai, Machang dan Tanah Merah, melibatkan kampung-kampung dalam lingkungan lima kilometer dari Lembangan Sungai Kelantan.
Di Gua Musang, kawasan berisiko termasuk Kampung Jeram Tekoh dan Kampung Limau Kasturi. Di Kuala Krai, sebahagian besar penempatan rendah seperti Kampung Mambong, Kampung Pahi, Kampung Bahagia, Kampung Bekok, Kampung Cheneh, Kampung Batu Mengkebang, Kampung Sungai Pas, Kampung Temalir, Dusun Damar dan Taman Perisai Wira dijangka terjejas.
Di Machang, kawasan luas sekitar Sungai Kelantan termasuk Kampung Pangkal Durian dan Kampung Kolam Abu berisiko dinaiki air, manakala di Tanah Merah, kawasan rendah sekitar Sungai Kelantan seperti Kampung Jerangau, Kampung Chekok Ipoh, Taman Kiara, Kampung Belimbing dan Kampung Kerilla turut terjejas.
PRABN menasihati penduduk supaya berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa, kerana banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada jangkaan. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui portal rasmi PublicInfoBanjir atau Facebook @PublicInfoBanjir.
Sumber: BERNAMA






