
Lebih 100,000 orang membanjiri jalan raya di Berlin pada Sabtu bagi membantah sokongan kerajaan Jerman terhadap tindakan Israel di Gaza yang disifatkan sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Perhimpunan besar-besaran itu dianjurkan oleh gabungan lebih 50 pertubuhan, termasuk kumpulan pro-Palestin, Medico International dan Amnesty International. Penunjuk perasaan berarak dari Dewan Bandaraya Berlin ke kawasan Grosser Stern sambil melaungkan slogan “Free Palestine” dan “Viva Palestine” serta mengibarkan bendera Palestin.
Penganjur demonstrasi bertemakan “Semua Mata ke Gaza – Hentikan Pembunuhan Beramai-ramai” menuntut agar Jerman segera menghentikan semua bentuk kerjasama ketenteraan dengan Israel, termasuk eksport, import dan transit senjata serta peluru.
“Tindakan Israel telah lama dikategorikan sebagai pembunuhan beramai-ramai oleh pakar dan organisasi antarabangsa, malah Mahkamah Keadilan Antarabangsa sedang menyiasat perkara ini. Namun kerajaan Jerman masih menafikan kekejaman yang berlaku,” kata penganjur dalam kenyataan rasmi.
Ramai peserta turut membawa poster bertulis “Hentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza” dan “Kebebasan untuk Palestin”. Mereka juga menuntut akses tanpa sekatan bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza serta sekatan Kesatuan Eropah (EU) terhadap Israel.
Ketika berucap di hadapan orang ramai, Pengerusi Parti Kiri, Ines Schwerdtner mengecam sikap kerajaan Jerman yang menurutnya “berdiam diri terhadap pembunuhan beramai-ramai di Gaza, sekaligus bersubahat dengan Israel.”
Sementara itu, tinjauan pendapat yang diterbitkan oleh YouGov pada Selasa lalu mendapati 62 peratus pengundi Jerman percaya tindakan Israel di Gaza merupakan pembunuhan beramai-ramai. Sokongan terhadap pandangan itu merentasi spektrum politik, termasuk 60 peratus pengundi konservatif CDU/CSU serta 71 peratus pengundi Parti Demokratik Sosial (SPD).
Walaupun Canselor Friedrich Merz dan Menteri Luar Johann Wadephul semakin lantang mengkritik tindakan Israel, mereka masih enggan menggunakan istilah “pembunuhan beramai-ramai” dan sekadar menyifatkan serangan Israel sebagai “kekerasan tidak seimbang.”
Menurut laporan agensi antarabangsa, hampir 66,000 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza sejak operasi ketenteraan Israel bermula, majoritinya wanita dan kanak-kanak. Sebahagian besar wilayah Gaza kini musnah menjadi runtuhan, dengan hampir seluruh penduduknya kehilangan tempat tinggal.
Sumber: TRT World & Agensi