
Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 12 pertuduhan membabitkan rompakan bersenjata, mencuri serta menipu yang melibatkan barang kemas dan wang tunai berjumlah lebih RM90,000.
Tertuduh, B. Murugan, 52, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mujib Saroji serta tiga Majistret iaitu Siti Zubaidah Mamat, A. Karthiyayini dan Nor Azilah Mat.
Di Mahkamah Sesyen, bekas pemandu e-panggilan itu didakwa melakukan dua rompakan bersenjatakan pisau terhadap dua wanita warga tempatan berusia 74 tahun di Taman Sri Sentosa dan Bandar Sultan Sulaiman di sini, masing-masing pada 3 Januari 2024 dan 10 Februari lalu.
Pertuduhan bagi kesalahan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Murugan berdepan 10 lagi pertuduhan melibatkan lima kesalahan menipu, empat kesalahan mencuri dan satu kes merompak yang dilakukan di sekitar Klang antara tahun 2022 hingga 2025. Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 379, 380, 392 dan 417 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar, Mohammad Uzzair Rosman dan Salman Alfarisi Nawawi serta Pegawai Pendakwa PDRM, Inspektor Mohamad Rabiul Awal Ishak, yang menawarkan jaminan antara RM4,000 hingga RM12,000 bagi setiap pertuduhan.
Peguam T. Daneish yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan diringankan atas alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga serta menghidap penyakit jantung.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM46,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 9 September ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen, manakala 13 Oktober bagi sebutan di Mahkamah Majistret.
Sumber: Bernama







