Semasa

Lembaga Angkasa Malaysia akan ditubuhkan pada Ogos ini

Lembaga tersebut akan dilancarkan sepenuhnya pada awal 2023

PUTRAJAYA : Bagi memastikan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) dapat dilaksanakan dengan efektif dan berkesan, satu Lembaga Angkasa Malaysia (Interim) akan ditubuhkan pada Ogos ini dan dilancarkan sepenuhnya pada awal 2023.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan berkata Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan akan mempengerusikan Lembaga tersebut bersama ahli-ahli daripada kementerian dan agensi yang berkaitan.

“Buat masa ini, pihak syarikat dan industri dinasihatkan untuk mendaftarkan satelit atau sebarang objek angkasa yang telah dilancarkan kepada MOSTI.

“Semua objek angkasa yang telah dilancarkan sebelum ini adalah tertakluk di bawah Akta 834 setelah akta mula dikuatkuasakan dan hendaklah didaftarkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh akta berkuat kuasa,” menurut kenyataan tersebut.

Tambah MOSTI, pada 25 Januari lalu, akta berkenaan telah diwartakan bagi mengawal selia aktiviti berkaitan angkasa bagi tujuan keselamatan, mengawal selia pendaftaran objek angkasa dan mengadakan peruntukan bagi kesalahan berkaitan aktiviti angkasa.

Katanya lagi, akta tersebut juga akan memastikan aktiviti angkasa negara dilaksanakan secara bertanggungjawab, selamat dan terjamin serta mematuhi segala peraturan dan piawaian yang dipersetujui di peringkat antarabangsa terutamanya melalui United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA).

Related Articles

Back to top button