
Lembaga Keamanan menggesa agar pelan keamanan Gaza yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dilaksanakan dengan segera tanpa sebarang kelewatan lanjut susulan serangan udara maut Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, pada Khamis.
Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi platform media sosial X, badan itu menyifatkan kehilangan nyawa dalam insiden tersebut sebagai bukti mengapa pelan berkenaan perlu diteruskan. Lembaga itu menyatakan bahawa tanpa pelaksanaan rangka kerja strategik tersebut, tragedi akan terus berulang apabila Hamas mendakwa Israel sengaja menyerang hospital, manakala Israel pula bertegas kononnya fasiliti perubatan dieksploitasi untuk operasi ketenteraan, sehingga akhirnya penduduk awam Gaza yang tidak bersalah menanggung akibatnya.
Walaupun menzahirkan rasa kesal terhadap kematian orang awam dan mengecam Hamas, kenyataan lembaga berkenaan dilihat mengelak daripada mengkritik atau mengutuk serangan tentera Israel tersebut. Sebaliknya, semua pihak digesa menghormati komitmen masing-masing serta menyerahkan kuasa dan ruang operasi yang diperlukan kepada Lembaga Keamanan bagi memastikan penduduk Gaza dapat hidup selamat dan menerima rawatan di fasiliti kesihatan bebas tentera.
Menurut Pertahanan Awam Gaza dan Kementerian Kesihatan Gaza, bedilan udara Israel yang mengenai tingkat dua bangunan Al-Yasin di Kompleks Perubatan Nasser itu telah mengorbankan enam nyawa—termasuk kakitangan perubatan, pesakit, dan pengiring—serta mencederakan lebih 20 yang lain, selain merosakkan teruk wad rawatan rapi dan unit pembedahan. Radio Tentera Israel menyifatkan serangan itu sebagai satu “operasi pembunuhan” tanpa memperincikan maklumat lanjut.
Serangan terbaharu ini berlaku di tengah-tengah pelanggaran berterusan perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025, yang setakat ini meragut 1,622 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan 5,878 orang. Secara keseluruhan sejak Oktober 2023, konflik di Gaza telah membunuh lebih 74,600 rakyat Palestin, mencederakan hampir 176,000 orang—majoritinya wanita dan kanak-kanak—serta memusnahkan 90 peratus infrastruktur wilayah berkenaan.
Sumber Maklumat: Anadolu Agency (AA)







