ARAB SAUDI : [KEMAS KINI]
Buat pertama kalinya, pihak berkuasa Arab Saudi mendedahkan gambar dari jarak dekat rupa bentuk batu Hajar Aswad yang terdapat di bucu Kaabah, Mekah. Menggunakan teknik pengambilan gambar panorama tersusun maka terhasillah foto jarak dekat Hajar Aswad yang berjaya dipaparkan.
Menurut ArabNews, Presiden kepada dua masjid suci, Masjidil Haram menunjukkan gambar itu yang dikatakan tidak pernah dilihat oleh mana-mana manusia setakat ini.
Laman sosial rasmi Haramain Sharafain turut mendedahkan dalam laman twitternya gambar Hajar Aswad yang terhasil setelah dibidik selama tujuh jam untuk menghasilkan imej daripada resolusi tinggi. Dengan teknik teknologi Fox Stack Panorama, Hajar Aswad dapat dipapar dengan ketepatan dan kualiti yang tinggi maka terhasillah rupa hajar aswad dengan sejumlah 49,000 gambar megapixel dan memerlukan seminggu untuk proses pengeditan.
Bagi orang yang ingin memulakan tawaf maka mereka perlu membetulkan bahu kiri mereka ke arah Hajarul Aswad dan berpusing sebanyak tujuh kali dan akhir sekali dengan akhir di Hajarul Aswad juga. Namun tidak mudah untuk menciumnya, kerana beribu-ribu jumlah yang jemaah hadir di persekitaran Kaabah. Malah ada yang berebut dan bertolak-tolak antara satu sama lain.
Menurut ajaran Islam, mencium Hajarul Aswad merupakan sunnah Nabi S.A.W. semata-mata, dan ini ditegaskan oleh Khalifah Umar Al-Khattab apabila sebelum beliau mencium batu itu (Hajar Aswad), beliau berkata-kata:
“Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad).”
Hajar Aswad dikatakan batu yang dilindungi dalam bingkai perak dan terdiri daripada lapan batu-batuan. Batu Hitam terletak di bahagian penjuru sebelah timur Kaabah adalah objek sangat disanjungi umat Islam. Secara kasar batu itu berukuran diameter 30 sentimeter dan 1.5 meter dari paras bawah.
Agensi Pengajian Projek dan Kejuruteraan sedang membangun pameran secara maya untuk memaparkan semua karya ini dalam model 3D yang dianggap sebagai replika koleksi arkeologi dengan merangkumi 123 keping gambar yang berbeza dari Muzium Senibina Dua Masjid Suci.
Sementara itu pada Rabu, menerusi Twitter Haramain Sharifain telah menunjukkan satu rakaman video durasi enam saat imej Hajarul Aswad dilihat secara dekat.
Video dirakam pada tahun lalu telah ditonton lebih 8,700 tontonan.
Haramain juga menunjukkan secara terperinci tujuh butir batu hitam Hajarul Aswad dan ukuran-ukuran yang berbeza yang terdapat pada bucu Kaabah.