
Kapasiti Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam atau LRT3 yang mula beroperasi hari ini disahkan mencukupi untuk menampung unjuran jumlah penumpang harian sehingga tahun 2040. Hal ini tetap terjamin meskipun skop asal projek berkenaan pernah dikurangkan pada tahun 2018.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, menjelaskan bahawa kapasiti semasa LRT3 adalah sebanyak 223,560 penumpang sehari. Manakala, unjuran jumlah penumpang harian bagi tahun pertama pengoperasian laluan tersebut adalah sekitar 67,000 orang.
Laluan ini menggunakan sebanyak 22 set tren tiga gerabak yang berkemampuan membawa 6,210 penumpang bagi setiap jam untuk setiap arah, sekali gus menyamai kapasiti harian sebanyak 223,560 penumpang.
“Sehubungan dengan itu, kapasiti perkhidmatan LRT3 mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna. Unjuran penumpang juga telah dibuat bagi tahun-tahun berikutnya, iaitu 126,000 penumpang sehari bagi 2030, 219,000 (2040) dan 324,000 (2050).
“Ini bermakna kapasiti sedia ada sebanyak 223,560 penumpang sehari adalah bersamaan dengan unjuran keperluan sehingga tahun 2040,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang membangkitkan isu kelewatan penyiapan dan pengoperasian projek LRT3 serta impaknya terhadap kos keseluruhan.
Isu Integrasi Sistem Dikesan, Tiada Kenaikan Kos Projek
Mengulas lanjut mengenai kelewatan projek sepanjang 37.8 kilometer yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia itu, Hasbi memaklumkan isu tersebut berpunca daripada masalah pengintegrasian sistem yang dikesan sewaktu ujian kritikal dijalankan. Bagaimanapun, situasi itu tidak melibatkan sebarang penambahan kos.
Beliau menegaskan bahawa ujian integrasi terpaksa dilakukan secara berulang kali atau iteratif sehingga semua masalah teknikal diselesaikan demi memastikan keselamatan, keselesaan pengguna, serta kelancaran operasi tren.
“Ingin dijelaskan juga bahawa tiada sebarang penambahan kos memandangkan projek ini merupakan projek kontrak harga tetap (Fixed Price – Turnkey Contract), malah kontraktor berhadapan denda lewat siap (delay damages) sebanyak RM2.729 juta sehari,” dedah beliau.
Perancangan Fasa Kedua LRT3 Selepas 2030
Dalam perkembangan sama, Hasbi menyatakan bahawa kerajaan mempunyai perancangan untuk melaksanakan fasa kedua projek LRT3 selepas tahun 2030, yang bakal melibatkan penambahan lima stesen serta tujuh set tren lagi.
Infrastruktur sedia ada juga telah direka bentuk dengan teliti untuk membolehkan peningkatan kapasiti pada masa hadapan.
“Walaupun tren yang digunakan sekarang terdiri daripada tiga gerabak, platform tersebut masih mempunyai ruang untuk ditambah kepada empat gerabak jika diperlukan (pada masa hadapan),” tambahnya. — BERNAMA






