
Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) kini bersedia menjadi tuan rumah Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang bakal berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September depan.
Penganjuran kali ini memanfaatkan keseluruhan kawasan seluas 129.5 hektar (320 ekar) dengan mengoptimumkan ruang dalam dewan serta kawasan luar bagi mempamerkan rantaian nilai sektor agromakanan secara menyeluruh.
Ketua Sekretariat MAHA 2026, Datuk Dr Mohd Haniff Hassan berkata, MAHA 2026 yang bertemakan “Penciptaan Nilai untuk Keterjaminan Makanan” disasarkan menerima kira-kira empat juta pengunjung memandangkan ia berlangsung pada musim cuti sekolah.
Antara pameran dan tarikan utama yang disusun mengikut zon termasuk:
-
Dewan A: Pameran dalam dan luar negara, padanan perniagaan, pemeteraian MoU, serta program Malaysia Go Global.
-
Dewan C & D: Menampilkan jentera, mekanisasi, teknologi robotik, serta pelbagai kandungan inovasi agromakanan.
-
Kawasan Luar (Laman & Pavilion): Laman Padi, Laman Nanas, pasar terapung, petting zoo, mini agro safari, serta pavilion negeri.
-
Teknologi Moden: Bimbingan teknologi berasaskan data, penggunaan dron, kecerdasan buatan (AI), dan sistem robotik.
-
Selingan Hiburan & Acara: Program Rhythm of the Farmers, Magical World, serta pertunjukan dron dan bunga api pada malam 30 Ogos.
Bagi aspek logistik dan keselesaan, lebih 5,000 petak parkir percuma disediakan di samping kemudahan trem, pengangkutan awam, dan e-hailing untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Acara dwitahunan anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ini dijangka membawa impak ekonomi yang besar dengan sasaran nilai potensi pelaburan mencecah RM8 bilion serta jualan langsung sebanyak RM58 juta.
Sumber: Bernama







