Laporan kes peras ugut, sebar gambar, video lucah semakin meningkat – Polis Selangor

SHAH ALAM : Polis Selangor menerima 220 kes membabitkan pemerasan dan ugutan menyebarkan video dan gambar bogel serta lucah melalui media sosial dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dalam satu kenyataan berkata daripada jumlah itu sebanyak 29 kes membabitkan kenalan kepada mangsa seperti bekas suami, bekas teman lelaki atau kenalan.
“Berdasarkan rekod dari Januari hingga Jun lepas, 54 kes melibatkan sindiket mencari kenalan melalui laman sosial sehingga memperdaya mangsa membuat aksi lucah semasa sedang bersiaran secara langsung (live) tanpa mengetahui aksi mereka dirakam.
“Sindiket pemerasan itu akan memperdaya mangsa sama ada lelaki dan wanita dalam lingkungan usia 20an hingga 60an, bagi mendapatkan apa yang dimahukan.
“Antara aplikasi yang sering digunakan oleh sindiket ialah Wechat, Facebook, Michat, Whatsapp, laman web GODATE2NIGHT, Locanto.asia, Line, Skype, Mingle2, Tantan, Tinder, perkhidmatan urutan tradisional, aplikasi swag (pelaburan), Twitter, Telegram dan Bitcoin,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah beliau, sindiket akan merakamkan video serta gambar lucah mangsa supaya mereka boleh memeras ugut untuk menyebarkan kedua-dua item berkenaan jika tidak memberikan apa yang diminta,” katanya. –
Selepas itu ahli sindiket akan mengugut mangsa dengan meminta sejumlah wang sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa.
Jumlah kerugian dialami mangsa antara RM3,000 hingga RM50,000 dengan suspek menggunakan akaun bank tempatan, termasuk luar negara bagi mengelak aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.
Oleh Hafeez Anuar