
Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan berhubung rayuan guru tadika M. Indira Gandhi dalam saman terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga pihak lain berhubung kegagalan mengesan bekas suaminya yang melarikan anak perempuan bongsu mereka selepas memeluk Islam.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 25 Ogos ini untuk pengurusan kes bagi memberi ruang mahkamah meneliti hujahan kedua-dua pihak. Turut bersidang ialah Hakim Datuk Faizah Jamaludin dan Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid.
Indira, yang diwakili peguam Rajesh Nagarajan, merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak tuntutannya untuk mengisytiharkan bahawa KPN ketika itu, Tan Sri Abdul Hamid Bador, cuai dalam menjalankan tugas awam kerana gagal melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, seperti diarahkan Mahkamah Tinggi Ipoh.
Beliau turut menuntut pengisytiharan bahawa tiga lagi responden bertanggungjawab secara vikarius, selain menuntut ganti rugi am, teruk, teladan dan faedah.
Prasana Diksa dibawa lari Muhammad Riduan ketika berusia 11 bulan pada 2009, tidak lama selepas beliau memeluk Islam. Remaja itu kini berusia 17 tahun.
Rajesh mendakwa polis gagal melaksanakan perintah mahkamah walaupun mengetahui keberadaan Muhammad Riduan, malah bekas KPN didakwa tidak menahan lelaki itu. Beliau juga memaklumkan anak guamnya percaya Muhammad Riduan membayar beberapa saman trafik pada 2020.
Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb berhujah bahawa tiada bukti kukuh menunjukkan kecuaian pihak responden. Katanya, pelbagai usaha telah dijalankan termasuk siasatan oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) ketika itu.
Kes ini berakar daripada perintah Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh pada 2014 untuk menahan Muhammad Riduan kerana menghina mahkamah berhubung kegagalan menyerahkan Prasana. Perintah itu dikuatkuasakan semula oleh Mahkamah Persekutuan pada 2016 selepas dibatalkan Mahkamah Rayuan.