Majikan pukul pengawal peribadi kerana berpuasa didakwa 5 pertuduhan
Mahkamah tetapkan sebutan semula kes 23 Jun

KLANG 22 April : Majikan yang mengugut dua pengawal peribadinya dengan pistol dan dipukul kerana berpuasa didakwa di Mahkamah Majistret Klang.
Ahli perniagaan, Chung Chee Yang, 43, didakwa dengan lima pertuduhan manakala pembantunya, Choo Hin Voon, 43, berdepan dua pertuduhan.
Untuk pertuduhan pertama, Chee Yang didakwa menakutkan terhadap Mohd Azminizam Zulkepli, 44, dengan ugutan ingin menyebabkan kecederaan parah sambil mengacukan pistol ke arah mangsa.
Dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh turut menghadapi dua pertuduhan bersubahat bersama Hin Voon dengan mengarahkannya mencederakan Ahmad Shamsuri Zailani, 27, dan Mohd Azminizam menggunakan rotan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 324 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh juga didakwa mengeluarkan kenyataan dengan sengaja yang berunsur penghinaan agama terhadap Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dia juga didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Hin Voon pula didakwa dengan dua pertuduhan kerana menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri.
Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman dan Mohd Fakhrurazi Ahmad di hadapan Majistret P Sarulatha.
Terdahulu, Ashyraf Ashy’ari memohon mahkamah mengena ikat jamin RM200,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Chee Yang dan RM100,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Hin Voon, selain kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis.
Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana kedua-duanya perlu menyara keluarga selain menjaga ibu bapa yang sakit.
Sarulatha bagaimanapun mengarahkan tertuduh pertama membayar RM50,000 untuk semua lima pertuduhan manakala tertuduh kedua dikenakan ikat jamin RM20,000.
Mahkamah menetapkan 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
– BH Online
Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewarwantanan) – Hafeez Anuar