ANKARA/KARACH: The United Nations Human Rights Council atau Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam serangan terhadap kitab suci umat Islam, Al-Quran baru-baru ini walaupun negara-negara Barat mengundi menentangnya.
Draf resolusi itu dibentangkan oleh Pakistan bagi pihak 57 anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Resolusi yang menyeru kecaman terhadap serangan menyasarkan Al-Quran dan menyifatkan ia sebagai ‘tindakan kebencian agama’, itu mendapat undian 47 anggota majlis, lapor Agensi Anadolu.
Pada sesi tetap ke-53 Majlis Hak Asasi Manusia PBB, resolusi itu diterima pakai dengan 28 negara mengundi menyokong, 12 negara menentang dan tujuh berkecuali.
Negara yang mengundi menyokong termasuk Algeria, Argentina, Bangladesh, Bolivia, Cameroon, China, Ivory Coast, Cuba, Eritrea, Gabon, Gambia, India, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Malawi, Malaysia, Maldives, Maghribi, Pakistan, Qatar, Senegal, Somalia, Afrika Selatan, Sudan, Ukraine, Emiriah Arab Bersatu, Uzbekistan dan Vietnam.
Belgium, Costa Rica, Republik Czech, Finland, Perancis, Jerman, Lithuania, Luxembourg, Montenegro, Romania, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) mengundi menentang resolusi tersebut.
Turkiye tidak mempunyai hak untuk mengundi kerana statusnya sebagai pemerhati dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
Selain itu, UK, AS dan beberapa negara anggota Kesatuan Eropah turut menolak usul mengutuk pembakaran Al-Quran semasa perbahasan pada Selasa di Majlis Hak Asasi Manusia PBB. – BERNAMA/Agensi Anadolu
BACA JUGA
Bakar Al-Quran: Boikot Sweden jika tidak minta maaf