HiburanSemasa

Malaysia negara terbaik pelancongan Muslim

Markah terbaik sektor Makanan Halal, Kewangan Islam & Kosmetik dan Farmaseutikal

KUALA LUMPUR : Malaysia menduduki tempat pertama dalam empat daripada enam sektor dalam Laporan Ekonomi Negara Islam Global (SGIE) 2020/21.

Malah Malaysia terpilih sebagai negara terbaik bagi sektor Pelancongan Mesra Muslim (MFT).

Pengiktirafan itu diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri dalam satu kenyataan.

Mengikut laporan dikeluarkan firma antarabangsa kajian strategik DinarStandard baru-baru ini, beliau berkata Malaysia juga menerima markah terbaik bagi sektor Makanan Halal, Kewangan Islam dan Kosmetik dan Farmaseutikal.

Katanya, Malaysia diletakkan masing-masing di tempat kedua dan keempat untuk Media dan Rekreasi dan ‘Modest Fashion’.

“Menyedari potensi besar dalam Pelancongan Islamik di bawah konsep MFT, Malaysia menerusi MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) dan agensinya Pusat Pelancongan Islam (ITC) akan terus meningkatkan pasaran menerusi infrastruktur, fasiliti, latihan, pembangunan kapasiti, dan standard dan pensijilan, selain promosi oleh badan promosi pelancongan,” – Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri

Pada kategori MFT, Kerajaan Malaysia berada pada kedudukan tertinggi dalam dua daripada empat dimensi tanda aras, iaitu dalam tadbir urus yang merujuk kepada peraturan berkaitan industri pelancongan dan kesedaran dari segi liputan media dan latihan pemegang taruh.

Nancy berkata, MOTAC dan ITC memfokuskan dalam melatih pemegang taruh ketika waktu suram akibat pandemik, yang diberikan perhatian dalam laporan SGIE.

“ITC menawarkan satu siri sesi latihan dalam talian berkaitan pelancongan mesra Muslim secara percuma ketika krisis, merangkumi topik seperti pensijilan halal, keperluan pelancong Muslim, Penjenamaan Islamik dan pemasaran,” katanya.

Dalam dua lagi sektor Malaysia berada di tempat kedua dalam Bantuan Kewangan untuk perbelanjaan pelancongan dalam negeri dan ketiga dalam Dimensi Sosial yang berkaitan impak sektor itu terhadap pekerjaan.

Pada sektor Pelancongan Mesra Muslim, 200.3 juta pelancong Muslim menyumbangkan AS$194 billion (RM790 bilion) dalam perbelanjaan perjalanan pada 2019, membuktikan potensi besarnya.

Bagaimanapun pandemik COVID-19 melumpuhkan pembangunan sektor ini yang dijangka pulih ke tahap sebelum pandemik pada 2023. – BERNAMA

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button