SemasaSukan

Malaysia Pasang Impian Jadi Tuan Rumah, Layak ke Piala Dunia – Ahmad Zahid

Malaysia menzahirkan hasrat dan cita-cita besar untuk bergelar tuan rumah kepada kejohanan bola sepak paling berprestij di planet ini, Piala Dunia, pada masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bukan sekadar mahu menganjurkan temasya gergasi itu, malah beliau turut memasang impian tinggi untuk melihat skuad Harimau Malaya layak beraksi secara merit sebagai wakil dari Asia Tenggara.

“Insya-Allah, satu hari nanti kita bercita-cita untuk menjadikan Malaysia tuan rumah Piala Dunia. Mudah-mudahan ketika itu pasukan Malaysia akan menjadi satu daripada pasukan untuk mewakili Asia Tenggara,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada program tayangan skrin gergasi perlawanan akhir Piala Dunia antara Argentina dan Sepanyol yang digabungkan bersama program Semarak Subuh di Bangi Square 2, hari ini.

Ranking Harimau Malaya Meningkat

Hasrat murni itu hadir ketika prestasi bola sepak negara memperlihatkan petanda positif apabila ranking terbaharu skuad Harimau Malaya melonjak dua anak tangga ke kedudukan ke-136 dunia berbanding ke-138 sebelum ini, memetik kemas kini rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Suasana di Bangi Square 2 awal pagi tadi meriah dengan kehadiran ratusan peminat tegar bola sepak tempatan yang berkumpul bagi menyaksikan pertembungan sengit antara juara bertahan Argentina menentang skuad La Roja Sepanyol.

Sebelum sepak mula, acara dimeriahkan dengan sesi ‘Borak Bola’ yang menampilkan barisan legenda serta bekas pemain Harimau Malaya termasuk Datuk Zainal Abidin Hassan, Mohd Farizal Marlias, dan Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak, dengan Hafizal Hamad bertindak sebagai pengendali sesi.

Sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan, Ahmad Zahid meluangkan masa menyertai penduduk tempatan bagi menjayakan program Semarak Subuh berjemaah di Surau Al-Hamidiah sebagai simbolik penutup acara gandingan sukan dan kerohanian berkenaan.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button