DomestikSemasa

Selepas Piala Dunia 2026, RTM Bakal Umum Penyiaran Lebih Banyak Acara Sukan Berprestij Dunia

Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal mengumumkan beberapa lagi hak penyiaran acara sukan bertaraf dunia pada masa akan datang, menyusuli kejayaan stesen penyiaran nasional itu menyiarkan keseluruhan kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 secara percuma.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail telah memaklumkan mengenai rancangan menyiarkan beberapa lagi pertandingan sukan berprestij dan pengumuman rasmi akan dibuat apabila tiba masa yang sesuai.

“Ketua Pengarah ada memaklumkan ada beberapa pertandingan yang akan kita siarkan di RTM. Itu nanti akan diumumkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Unity Merdeka x RTM World Cup 2026 di Dataran Merdeka, awal pagi ini.

Dalam program tersebut, Fahmi bersama-sama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menyertai ribuan warga kota menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2026 yang menyaksikan Sepanyol bergelar juara selepas menewaskan Argentina.

Angka Penuh Tontonan Aksi Final Diteliti

Mengulas mengenai prestasi keseluruhan sepanjang kejohanan, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan menyatakan Kementerian Komunikasi akan mendapatkan data penuh jumlah tontonan bagi aksi final sebelum membuat penilaian menyeluruh.

Beliau tidak menafikan wujudnya beberapa gangguan teknikal pada peringkat awal siaran, namun masalah berkenaan telah dikenal pasti dan berjaya diatasi dengan segera oleh pasukan teknikal RTM.

“Saya akan dapatkan angka penuh nanti, kita akan teliti untuk final. Ada beberapa isu teknikal pada awal yang telah dikenal pasti dan berjaya diatasi.

“…dan saya rasa ini peluang baik untuk kita lihat teknologi-teknologi baharu, termasuk yang kita boleh tonton TV dalam telefon pintar. Ini sangat baik untuk rakyat Malaysia, insya-Allah,” katanya.

Perkukuh Kerjasama Strategik, Ketepikan Persaingan

Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail menegaskan komitmen Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama organisasi media tempatan bagi memastikan rakyat mendapat akses terbaik kepada kandungan berkualiti.

Menurut beliau, RTM memilih untuk berperanan sebagai titik tumpu (focal point) yang menyatukan para pengamal media dan enggan melihat isu hak penyiaran acara sukan utama sebagai satu bentuk persaingan komersial semata-mata.

“Ini bukan tentang hak eksklusif siapa dapat, siapa tak dapat, siapa menang atau siapa kalah. Dalam konteks sesuatu yang diperlukan rakyat Malaysia, Jabatan Penyiaran Malaysia melihat ini melangkaui pertembungan persaingan,” jelas Ashwad.

Beliau menambah bahawa pendekatan kolaboratif tersebut akan diperluas kepada pelbagai acara besar lain pada masa hadapan demi memberi manfaat maksimum kepada seluruh penonton di negara ini.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button