
Malaysia akan terus memberikan sokongan penuh terhadap usaha memperkukuh dan memajukan Komuniti ASEAN, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, terima kasih sekali lagi kerana berada di Kuala Lumpur. Malaysia akan terus memberikan sokongan padu ke arah memperkukuh dan memajukan Komuniti ASEAN kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Mohamad merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN serta Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir di ibu negara pada Selasa.
Beliau menyifatkan kejayaan penganjuran sidang itu sebagai hasil usaha kolektif yang memperkukuh peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN sepanjang tahun ini.
Menteri Luar itu turut menzahirkan penghargaan kepada semua Ketua Negara dan Kerajaan ASEAN, Menteri Luar serta rakan dialog seperti Australia, Kanada, China, India, Jepun, New Zealand, Rusia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
Beliau juga berterima kasih kepada Setiausaha Agung ASEAN, wakil entiti ASEAN, serta rakan antarabangsa termasuk Majlis Eropah, FIFA, IMF, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dan Bank Dunia atas kerjasama mereka.
Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinan beliau serta kepada rakan Kabinet dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas komitmen dan penyelarasan cemerlang sepanjang penganjuran sidang.
Beliau turut berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan dan semangat solidariti sepanjang tempoh Malaysia menerajui ASEAN, sambil menegaskan bahawa rakyat telah menghayati sepenuhnya nilai persaudaraan serantau.
Mengimbas pencapaian sidang kemuncak itu, Mohamad berkata ASEAN telah mencapai kemajuan bermakna dan merangka hala tuju strategik baharu dalam memperkukuh hubungan diplomatik serta perdagangan dengan rantau lain.
Beliau turut menyatakan bahawa penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota baharu ASEAN mencatat sejarah penting buat komuniti serantau itu.
“Semoga jalinan kerjasama kita terus berkembang subur, dan semoga kita menghadapi masa depan sebagai satu Komuniti ASEAN – bersatu, berdaya tahan dan semakin kukuh,” katanya.
Sumber: Bernama
 
  
  
  
 






