DomestikKemanusiaanSemasa

Manfaat perkhidmatan Mobile Clinic MAIWP-MAPIM kepada ummah

Oleh: Muhammad Fazli Othman, Aktivis Kemanusiaan @Taskforce MAPIM

KUALA LUMPUR -Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan usahasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sentiasa komited dalam misi gerak kerja santuni ummah.

Hari ini merupakan hari kedua program mobile clinic MAIWP-MAPIM di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang. Kebanyakan pesakit telah menunggu dari jam 8.30 pagi untuk mengambil giliran pendaftaran.

Menurut Naib Pengerusi Persatuan PA tersebut, Arshad Shaharudin, beliau merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak MAIWP-MAPIM yang sudi datang untuk menjalankan program yang memberi manfaat kepada komuniti di sini.

“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak sanggup datang ke sini yang menjayakan program mobile clinic ini bagi mendekati masyarakat khususnya untuk menjaga kebajikan dan juga kesihatan kepada semua yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemubual UMMAHToday.

Pelancaran mobiliti bas dua tingkat ini iaitu Mobile Clinic MAIWP-MAPIM adalah merupakan hasil gerapan idea dan usaha inovasi kedua pihak untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

Oleh itu, berikut merupakan senarai manfaat yang diperolehi ketika menggunakan perkhidmatan Mobile Clinic MAIWP-MAPIM ini.

Pertama, ia menyediakan perkhidmatan konsultasi bersama pegawai kesihatan yang bertauliah dan berpengalaman.

Pesakit boleh mendapatkan khidmat nasihat kesihatan secara percuma dengan pegawai kesihatan yang mesra dan baik. Pesakit yang hadir juga boleh membuat pemeriksaan tekanan darah, gula, kolestrol dan pemeriksaan jantung.

Kedua, masyarakat boleh menjimatkan kos membeli ubat-ubatan. Mobile Clinic ini juga berkhidmat memberi ubatan secara percuma kepada pesakit atas nasihat dan pemantauan pegawai kesihatan yang bertugas.

Pesakit hanya perlu mendaftar dan hanya membawa kad pengenalan bagi tujuan rekod serta menunggu giliran masing-masing tanpa dikenakan sebarang caj perkhidmatan dan ubatan.

Ketiga, perkhidmatan mobiliti ini dapat menjimatkan masa pesakit. Bas dua tingkat ini mempunyai 3 bilik rawatan dan 1 bilik farmasi.

Setelah hampir setahun Mobile Clinic ini berkhidmat untuk masyarakat, mengikut statistik terkini sudah 2,100 orang telah menggunakan perkhidmatan pemeriksaan percuma ini melibatkan 45 program yang dianjurkan di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.

In sha Allah pada masa hadapan, jika program ini berterusan mendapat sokongan dan sambutan daripada masyarakat, mereka akan meluaskan lagi kawasan untuk membawa turun bas klinik bergerak ini ke seluruh negara.

Program ini juga beroperasi di kawasan perumahan awam sekitar Kuala Lumpur yang sangat dekat dengan kediaman masyarakat setempat bermula jam 10 pagi hingga 3 petang selama 2 hari berturut bagi setiap program.

Anggaran pesakit yang boleh menerima rawatan dalam sehari adalah sekitar 50 orang. Pesakit tidak perlu menunggu masa yang lama untuk menerima rawatan kerana klinik bergerak ini boleh menyantuni 3 orang pesakit sekaligus dalam suatu masa.

MAIWP dan MAPIM berhasrat untuk memperbanyakkan lagi usaha seperti ini di masa akan datang demi usaha menyantuni dan membantu meringankan beban masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama.

Dalam masa yang sama, dengan kejayaan pelaksanaan inisiatif ini, harapan MAPIM adalah agar ia menjadi contoh kepada pihak lain untuk mengikut jejak langkah mereka dengan objektif untuk mendekati masyarakat dan bantu sesama ummah.

Related Articles

Back to top button