BanjirDomestikSemasa

MAPIM Teruskan Usaha Bantuan Banjir di Kedah, Sediakan 300 Pek Makanan Panas

ALOR SETAR, 18 Oktober – Pada hari ketiga semalam, pasukan lapangan MAPIM Malaysia bersama sukarelawan berjaya menyediakan 300 pek makanan panas dari Dapur Bergerak MAPIM untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar kawasan terjejas. Makanan yang disediakan terdiri daripada nasi putih dan lauk gulai ayam, dan proses penyediaannya berjalan lancar hasil kerjasama erat antara semua pihak yang terlibat.

Sukarelawan MAPIM membungkus pek makanan panas, nasi putih bersama lauk gulai ayam untuk diagihkan kepada mangsa banjir di perkampungan sekitar Alor Setar

Selepas menyiapkan pek makanan, pasukan MAPIM terus bergerak ke Baling untuk bertemu dengan wakil MAPIM Ranger, Tuan Amir. Pertemuan ini penting untuk membincangkan serta menyusun program agihan bantuan yang dijadualkan untuk hari ini. Langkah ini bertujuan memastikan agihan bantuan berjalan dengan teratur dan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Sukarelawan MAPIM Malaysia membawa pek makanan panas daripada Field Mobile Kitchen kepada mangsa banjir di perkampungan sekitar Alor Setar

Pasukan juga meneruskan aktiviti tinjauan ke beberapa kawasan kampung yang dilanda banjir untuk membuat persiapan bagi agihan seterusnya. Berdasarkan pemerhatian semalam, air banjir di kawasan terbabit telah mula surut, menandakan bahawa bantuan yang akan diberikan pada hari berikutnya akan tertumpu kepada fasa pemulihan pasca banjir. Bantuan pasca banjir ini akan memberi fokus kepada pembersihan kawasan terjejas serta memastikan keperluan asas penduduk dipenuhi.

MAPIM berharap segala gerak kerja yang telah dirancang akan dipermudahkan dan mendoakan agar pasukan serta sukarelawan diberi kekuatan untuk terus menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir. Setiap usaha ini dilakukan dengan harapan agar penderitaan mangsa-mangsa banjir dapat diringankan, dan proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar.

MAPIM yakin dengan izin-Nya, bantuan ini akan memberikan manfaat yang besar kepada komuniti yang terjejas.

Jelajah Peduli Ummah: Sejahtera Insan al-Falah telah dilancarkan pada 11 Oktober 2024 di Kompleks Islam Putrajaya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar. Misi ini, yang kini memasuki tahun ke-7 penganjurannya, merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), dan Zus Coffee. Program ini akan berlangsung dari bulan ini hingga Februari 2025, dengan pelbagai inisiatif disusun bagi membantu mereka yang memerlukan.

Majlis “Flag-Off” yang melibatkan 20 aset MAPIM yang terdiri daripada kenderaan pacuan empat roda, peralatan logistik seperti bot, klinik dan dapur bergerak

Sebagai sebahagian daripada usaha di bawah Jelajah Peduli Ummah, Pasukan Lapangan MAPIM Malaysia kini berada di Kedah untuk hari ketiga berturut-turut, menyantuni mangsa-mangsa banjir yang terjejas. Bantuan yang disalurkan termasuklah makanan panas, bantuan pasca banjir, dan sokongan moral kepada penduduk yang kehilangan harta benda dan tempat tinggal akibat banjir. Inisiatif ini melambangkan komitmen berterusan untuk membantu komuniti yang memerlukan, khususnya dalam menghadapi cabaran bencana alam yang semakin kerap berlaku.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Abdul Alim Araby, menekankan bahawa pihaknya sentiasa mengutamakan usaha menyantuni rakyat Malaysia, terutamanya dalam menghadapi bencana alam yang kian meningkat. Namun, dalam masa yang sama, MAPIM tidak melupakan tanggungjawab untuk meneruskan bantuan kemanusiaan ke Gaza, Lubnan, dan Syria.

“Usaha di dalam negara menjadi keutamaan, namun bantuan kepada saudara kita di Gaza dan negara-negara lain yang memerlukan tetap diteruskan,” ujar beliau, menunjukkan komitmen berterusan MAPIM dalam membantu mereka yang terjejas di luar negara.

(Dr.) Sani juga menjelaskan bahawa Jelajah Peduli Ummah ini dianjurkan bertepatan dengan Bulan Siaga Bencana sebagai persediaan menghadapi pelbagai bencana alam seperti banjir kilat, ribut, dan tanah runtuh. MAPIM kini menggerakkan 20 aset bantuan kecemasan yang terdiri daripada kenderaan pacuan empat roda, bot, klinik dan dapur bergerak, serta alatan membersih rumah, selain daripada sokongan para sukarelawan terlatih.

“Selain itu, kami turut menyediakan kotak bantuan yang mengandungi bekalan makanan, pakaian, ubat-ubatan, serta keperluan asas lain yang akan diagihkan kepada mangsa bencana. Sasaran kami adalah untuk memberi manfaat kepada 100,000 orang tanpa mengira bangsa dan agama,” tambah beliau.

Melalui sokongan gabungan pelbagai pihak ini, Jelajah Peduli Ummah diharapkan dapat memberi impak yang besar dalam meringankan beban mangsa-mangsa banjir, di samping menzahirkan keprihatinan dan solidariti bersama mereka yang memerlukan.

Facebook
Instagram
LinkedIn

Related Articles

Back to top button