Semasa

Masjid Besi diimarahkan dengan aktiviti pupuk semangat patriotik

PUTRAJAYA: Menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang terkenal dengan panggilan ‘Masjid Besi’ merangka aktiviti dan program yang mengimarahkan institusi masjid dalam memupuk semangat patriotik dalam kalangan jemaah.

Penolong Pengarah Kanan Unit Dakwah dan Komunikasi masjid berkenaan, Ustaz Rashidi Salleh berkata empat program telah diluluskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Santai-Santai Keluargaku yang akan diadakan pada 19 Ogos, Rabitah (jaringan) Surau-Surau Putrajaya pada 26 Ogos, Quran Hour (30 Ogos) dan Majlis Bacaan Yasin dan Kesyukuran Sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

Ustaz Rashidi Salleh, Penolong Pengarah Kanan Unit Dakwah & Komunikasi Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin

Bercakap kepada BERNAMA baru-baru ini, Ustaz Rashidi berkata Quran Hour yang bertemakan ‘Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar’ (golongan yang berbuat kebajikan) akan menjadi program utama masjid berkenaan dan dijangka menarik penyertaan antara 10,000 hingga 15,000 peserta dalam program satu jam itu.

Beliau berkata program yang memasuki edisi kesembilan itu akan menjadikan surah Al-Insan sebagai surah pilihan yang menerapkan elemen perpaduan dan ia bertepatan dengan konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Jan lepas.

“Surah Al-Insan membawa elemen takwa, pembinaan jiwa, ikhlas dan berorientasikan akhirat“, katanya dan menambah program itu akan disusuli dengan sesi tadabbur (renungan) melibatkan surah Al-Insan dan Al-Asr bagi membolehkan inti pati surah-surah lebih difahami, sekali gus menanam semangat cinta kepada negara dan menyemarakkan semangat perpaduan terutama dalam kalangan generasi muda.

Mengenai program Santai-Santai Keluargaku yang bertujuan menjadikan masjid sebagai tempat mengeratkan hubungan kekeluargaan, beliau berkata program yang akan bermula selepas solat maghrib itu menampilkan pendakwah bebas Ustaz Elyas Ismail menyampaikan ceramah motivasi keluarga dan sesi perkongsian tip keluarga bahagia.

“Selain santai dengan keluarga di masjid, pengunjung boleh manfaatkan masa menghadiri majlis ilmu dan menikmati makanan serta minuman pada harga rahmah”, katanya dan menambah terdapat 10 gerai yang akan menjual makanan dan minuman pada harga serendah RM1.

Program Rabitah Surau-Surau Putrajaya pula ialah program bagi mewujudkan kerjasama antara pihak Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan institusi surau khususnya surau di sekitar Putrajaya yang kurang menganjurkan aktiviti atau program kerana kekurangan dana.

“Pihak Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin akan sediakan tenaga pengajar untuk menyampaikan ceramah pada majlis ilmu kira-kira 10 surau akan terlibat dalam program itu yang akan dibantu dari segi dana untuk membolehkan pihak surau berkenaan menganjurkan majlis ilmu”, katanya.

Pada malam sambutan Hari Kebangsaan 2023, Majlis Kesyukuran dan Majlis Bacaan Yasin akan diadakan selepas solat maghrib, yang akan dipimpin oleh Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Nor Azamir Alias, dengan dijangka dihadiri kira-kira 400 jemaah.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff berkata pihak JAKIM sentiasa memastikan pelaksanaan program masjid di bawah seliaan jabatan itu berpandukan kepada Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani 2023-2027 (Pelan Transformasi Al-Falah) yang dilancarkan pada 31 Jan lepas.

Katanya, bagi memenuhi aspirasi Bulan Kebangsaan 2023 yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, semua program yang akan dilaksanakan JAKIM merupakan program berunsur semangat kecintaan kepada negara bertujuan menghindarkan diri rakyat daripada pelbagai anasir yang membawa kepada perpecahan serta permusuhan.

“Semoga dengan penganjuran pelbagai program bersempena dengan Bulan Kebangsaan 2023 ini mampu meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan ummah agar dapat terus berbakti kepada Malaysia bumi tercinta, yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama“, katanya.

Program lain JAKIM sempena Hari Kebangsaan 2023 antaranya termasuklah Pertandingan Lensa Merdeka Wefie@Institut Latihan Islam 2023, Bacalah Anak-Anak Al-Falah dan Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk ‘Legasi Merdeka’ yang akan disiarkan pada 31 Ogos pukul 9 malam di TV1 Radio Televisyen Malaysia.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button