Mat motor, ‘Sofea Racing Team’ beri sumbangan kepada Palestin melalui MAPIM Malaysia
Hasil kutipan jualan t-shirt Palestin diserah kepada Tabung Gaza MAPIM
KAJANG : Sekiranya dilihat pada luaran, penampilan ‘mat motor’ ini tidak memberi rasa untuk dikagumi. Baju berkolar bulat yang dipadankan dengan seluar jeans lusuh koyak pada lutut, dan topi snapback pelbagai jenama, memberikan rasa ‘biasa-biasa’ pada yang melihat. Apatah lagi apabila melihat jentera tunggangan mereka, Yamaha RXZ, 135cc. Enjin dua lejang dengan bunyi yang bingit dan asap yang berkepul.
Akan ada yang menganggap mereka sebagai ‘mat rempit’, sedangkan hakikatnya, ‘mat rempit’ adalah sangat berbeza dengan ‘mat motor’.
Namun, rasa kagum dan hormat itu akan muncul apabila mengetahui apa yang ‘mat motor’ ini telah lakukan untuk Ummah. Mereka telah mengumpulkan dana sebanyak RM17,315, hasil daripada jualan baju bertema Palestin. Dana itu kemudiannya diserahkan kepada MAPIM Malaysia bagi disalurkan kepada rakyat Palestin.
‘Mat motor’ ini tidak bergerak sendiri, tetapi bergerak dalam satu kelab yang dikenali sebagai Sofea Racing Team. Mereka mempunyai tagline yang unik, ‘Tak minta taat, cukup sekadar setia’.
Sofea Racing Team ditubuhkan pada tahun 2004, dan nama Sofea itu adalah inspirasi daripada sebuah kumpulan rock Melayu yang bernama serupa, Sofea.
Majoriti ahlinya adalah penunggang motosikal RXZ. Pada mulanya, ia ditubuhkan bagi mengumpulkan peminat permotoran dan untuk menjalankan aktiviti permotoran yang sihat, seperti konvoi dan ‘gathering’.
Seiring waktu, aktiviti Sofea Racing Team semakin matang dan mengarah ke arah kebajikan. Mereka banyak membantu mereka yang memerlukan seperti mangsa banjir, anak-anak yatim dan asnaf. Yang terbaru, mereka membantu mengumpulkan sumbangan kepada rakyat Palestin.
Ketika ditemubual oleh wartawan UMMAHToday, Hafeez Anuar, salah seorang ahli kelab motosikal tersebut, Saiful Faez memberitahu sumbangan ini adalah sebahagian hasil kutipan jualan baju t-shirt Palestin untuk diinfakkan kepada rakyat Gaza yang tertindas.
“Atas dasar perikemanusiaan dan membantu saudara seagama, pihak kami melancarkan kutipan menerusi jualan amal baju-T yang kami hasilkan dan dijual secara dalam talian. Sebahagian dari kutipan jualan baju itu akan kami infakkan kepada umat Islam Palestin yang sedang dalam kesengsaraan,” – Ahli Kelab Sofea Racing Team / Saiful Faez.
Melihat usaha MAPIM yang sentiasa konsisten dalam memperjuangkan isu Palestin, punyai perancangan yang jelas bagi membantu rakyat Palestin dan aktif dalam aktiviti kemanusiaan dalam dan luar negara, ia telah menarik kepercayaan kelab Sofea Racing Team untuk memilih MAPIM Malaysia bagi diamanahkan dana yang sudah mereka kumpulkan. Apatah lagi MAPIM Malaysia tidak pernah prejudis dengan sesiapa.
Menurut (Dr.) Sani Araby Al Kahery, Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia,
“Kami sangat terharu dengan kepercayaan anak muda kepada MAPIM Malaysia. Kami juga sangat kagum dan menyanjung tinggi usaha mereka dalam membantu rakyat Palestin. Kami sendiri pernah melalui ‘masa yang berapi-api’, dan kami faham perasaan anak muda yang ‘rebel’ dan kreatif tetapi punyai semangat untuk membantu Ummah. Kami di MAPIM Malaysia, suka menegaskan, kami adalah kawan kepada anak muda, dan akan menyokong dan malah membantu segala aktiviti mereka yang memberi manfaat kepada Ummah. Semoga usaha Sofea Racing Team ini memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda di Malaysia.”
Semoga inisiatif yang ditunjukkan oleh kelab Sofea Racing Team ini mampu menjadi satu inspirasi kepada orang ramai khususnya anak muda untuk terus melakukan amal kebajikan dan sedikit sebanyak mampu mengubah persepsi negatif terhadap ‘mat motor’.
Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar
MASA UNTUK BERTINDAK!
Sumbangan anda untuk rakyat Palestin yang menderita sangat diperlukan.
Klik :
http://tabunggaza.com
ATAU
menerusi Akaun Maybank
Dana MAPIM :
5628 3463 6620
MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016
Ikuti update terkini
https://t.me/MapimMalaysia