PalestinSemasa

Media Israel Mula Laporkan Penderitaan Palestin Selepas Kritikan Antarabangsa

Selepas hampir dua tahun dituduh memutihkan pencerobohan Israel ke atas Gaza, beberapa media arus perdana Israel kini mula menyiarkan laporan tentang kebuluran dan penderitaan rakyat Palestin.

Sebelum ini, liputan televisyen di Israel lebih menonjolkan naratif kepahlawanan tenteranya, kesedihan keluarga tebusan serta korban askar yang gugur. Namun, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, penonton Israel mula disajikan dengan imej kanak-kanak Palestin yang kekurangan zat makanan dan laporan mendalam tentang kesukaran hidup harian di Gaza.

Perubahan ini berlaku ketika Israel berdepan tekanan antarabangsa yang semakin hebat terhadap operasi ketenteraannya, yang menurut Kementerian Kesihatan Gaza telah meragut lebih 64,300 nyawa rakyat Palestin sejak Oktober 2023. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pakar bebas menganggap angka itu boleh dipercayai walaupun dipertikaikan Israel.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu terus menolak gesaan untuk menamatkan perang, dengan menegaskan keutamaan kerajaan adalah pembebasan baki 48 tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza.

Wartawan Israel mengakui media tempatan sebelum ini jarang melaporkan penderitaan rakyat Palestin, manakala laporan yang disiarkan sering dilihat hanya dari perspektif keberkesanan serangan untuk melemahkan Hamas. Beberapa wartawan dan penyampai berita yang berani menyiarkan isu kemanusiaan pula berdepan kecaman daripada kumpulan pro-kerajaan.

Israel juga terus menghalang kemasukan wartawan antarabangsa ke Gaza, menjadikan konflik ini antara “zon perang paling berbahaya” untuk pengamal media, menurut Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ) berpangkalan di AS. Sekurang-kurangnya 249 wartawan dilaporkan terbunuh sejak perang bermula.

Walaupun terdapat sedikit perubahan liputan, pemerhati berpendapat tumpuan media Israel masih lebih besar terhadap isu domestik, manakala kisah penderitaan rakyat Palestin kekal terpinggir.

Sumber: TRT World & Agensi

Related Articles

Back to top button