KerohanianSemasa

Mengenang Syeikh Yusuf Al-Qaradawi: Raja Perlis titah pelaksanaan Solat Jenazah Ghaib

Akan dilaksanakan di semua masjid di Perlis selepas solat zohor bermula Rabu

KANGAR: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bertitah supaya semua masjid di negeri Perlis mengadakan solat jenazah ghaib sebagai penghormatan terakhir buat tokoh ulama terkenal Sheikh Prof. Dr. Yusuf ‘Abdullah Al-Qaradawi yang meninggal dunia di rumahnya di Doha pada Isnin.

Solat jenazah ghaib itu akan dilaksanakan di semua masjid di sana selepas solat zohor bermula Rabu, 28 September.

Raja Muda Perlis ketika mengadakan pertemuan dengan Allahyarham Syeikh Yusuf Al-Qaradawi di Doha, Qatar pada 2012. Foto sumber MAIPs

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam satu kenyataan memberitahu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang DiPertua MAIPs menitahkan memandangkan solat jenazah ke atas Rahimahullah akan dilaksanakan pada waktu asar di Qatar pada hari ini, maka pelaksanaan solat jenazah ghaib ke atas Rahimahullah di masjid-masjid seluruh Perlis adalah diselaraskan sejurus selepas Solat Zuhur esok.

Sehubungan itu, adalah digalakkan kepada seluruh umat Islam di Perlis untuk menyertai solat berkenaan sepertimana yang telah diperkenankan berdasarkan sunnah baginda Rasulullah SAW.

Tuanku Syed Sirajuddin dijadualkan berangkat melaksanakan solat zuhur dan solat jenazah ghaib di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar seperti waktu yang telah ditetapkan.

MAIPs dalam kenyataan itu berkata, pemergian Syeikh Yusuf Al-Qaradawi merupakan satu kehilangan besar buat dunia Islam.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button