Semasa

Saksikan kemuncak hujan Meteor Perseids di Malaysia malam ini!

Ikuti siaran langsung di Dark Sky Malaysia

Oleh Nurshazlin Shahrom

PETALING JAYA : Kemuncak fenomena Hujan Meteor Perseids yang berlaku setiap tahun bakal dilihat orang ramai lewat malam ini hingga awal pagi 13 Ogos 2021.

Agensi Angkasa Malaysia berkata, fenomena. berkenaan bermula pada Julai hingga 24 Ogos dan kemuncaknya dijangka malam ini.

“Semasa kemuncak fenomena itu berlaku, dijangka secara purata sekitar 60 hingga 100 meteor sejam dan boleh mencecah sehingga 150 meteor sejam.

“Pancuran Meteor Perseids selalunya bersinar dengan terang dan mudah dilihat sekiranya cuaca baik. Anda boleh menyaksikan fenomena itu hanya dengan menggunakan mata kasar dari lokasi yang gelap dan bebas dari pencemaran cahaya,” katanya.

Nama Perseids adalah merujuk kepada titik kemunculan pancuran meteor di langit iaitu di kawasan buruj Perseus.

Pancuran Meteor Perseids berlaku setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi matahari merentasi laluan orbit komet Swift-Tuttle.

Komet Swift-Tuttle dianggarkan mempunyai nukleus yang berdiameter sebesar 26 kilometer dan mengambil masa selama 133 tahun untuk melengkapkan orbitnya.

Orang ramai boleh menyaksikan cerapan fenomena itu dengan menyertai siaran langsung cerapan juraian meteor perseids di Dark Sky Malaysia malam ini pada pukul 8.00 malam.

 

Related Articles

Back to top button