Semasa

Nahas pesawat di Elmina: Hajat raikan kenduri kahwin adik perempuan tidak kesampaian

KLANG: Allahyarham Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, rider penghantar makanan yang dilaporkan turut maut dalam nahas pesawat di Persiaran Elmina, Shah Alam pada Khamis ada memaklumkan dan menjemput rakan-rakan penghantar untuk hadir kenduri kahwin adik perempuannya di Taman Sidam Kiri, Sungai Petani pada 26 Ogos depan.

Memetik laporan KOSMO!, rakannya Mohd. Noramin Ismail, 36, menjelaskan Allahyarham yang merupakan graduan Ijazah Kejuruteraan Pembinaan Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah bekerja sebagai penghantar makanan sejak 2018.

Ujarnya, Allahyarham seorang yang senang berkawan dan tidak lokek dalam melemparkan senyuman.

Foto kenangan Allahyarham Muhammad Hafiz (tengah) bersama rakan-rakannya. Kredit foto ihsan rakan-rakannya

“Kali terakhir berbual dengan Allahyarham adalah dalam kumpulan WhatsApp kira-kira pukul 2:31 petang dan ketika itu dia bertanyakan khabar”.

“Saya kemudian mengajak untuk bersama-sama mendapatkan makanan percuma yang diedarkan Mekdi,” katanya.

Dalam pada itu, Allahyarham Muhamad Hafiz, dikategorikan sebagai ‘rider’ terbaik Foodpanda.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi perkongsian pada posting Foodpanda riders, sebentar tadi.

Pada posting itu turut dizahirkan ucapan takziah buat seluruh keluarga mangsa yang berasal dari Sidam, Kedah.

“Dukacita dimaklumkan bahawa rider kita Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh telah terlibat dalam tragedi kapal terbang terhempas di Elmina semalam“.

“Salam takziah dari kami Foodpanda kepada keluarga Allahyarham. Al Fatihah,” tulis mereka.

Allahyarham Muhamad Hafiz seorang anak sulung daripada lima beradik adalah pekerja p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut dalam nahas tersebut.

Adiknya, Norhikmah Muhammad Salleh, 26, berkata Allahyarham Muhamad Hafiz ada menyatakan hasrat pulang ke kampung bagi membuat persiapan kenduri ketika menghubungi bapanya, minggu lalu.

“Abang ada kata mahu pulang 20 Ogos ini, kami sekeluarga mahu buat persiapan sempena perkahwinan kakak yang dijadual berlangsung 26 Ogos”.

“Namun, Allah lebih menyayangi abang. Walaupun seorang yang pendiam dan tegas, tetapi dia sangat penyayang,” katanya memetik laporan Bharian.

BACA JUGA
Nahas pesawat di Elmina: MAPIM rakam ucapan takziah

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button