Operasi sembilan menara komunikasi baharu tingkat kualiti internet di Sabah
Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews
Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah
KOTA KINABALU : Sembilan buah menara komunikasi baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah beroperasi sepenuhnya sejak 15 Jun yang lepas yang memanfaatkan seramai 6,520 orang penduduk di beberapa kampung di Bahagian Kudat bagi menikmati perkhidmatan jalur lebar yang lebih pantas dan berkualiti.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata pembinaan menara berkenaan yang dilaksanakan di bawah Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) itu dijangka akan sekaligus mentransformasikan kehidupan penduduk setempat dalam mengharungi era digital yang semakin pesat.
“Daripada Sembilan menara tersebut, lapan menara terletak di daerah Kudat iaitu di Kg. Kubatang, Kg. Lodung, Kg. Indarason Laut, Kg. Rondomon, Kg. Membatu, Kg. Inukiran, Kg. Panikuan, Kg. Toporoi dan sebuah menara lagi terletak di Kg. Kabatasan di daerah Pitas.
“Pada masa yang sama, kerja-kerja pembinaan tapak menara komunikasi baharu bagi 13 lagi menara komunikasi di Bahagian Kudat sedang giat dilaksanakan oleh pihak penyedia perkhidmatan yang dilantik dan dijangka siap secara berperingkat menjelang bulan Disember 2021” katanya.
Dengan adanya penambahan menara-menara komunikasi di Bahagian Kudat, ianya akan memudahkan penduduk setempat untuk melaksanakan pelbagai urusan harian seperti pembelajaran dalam talian, bekerja dari rumah dan urusan perhubungan.
Selain itu, kesalinghubungan Internet yang lebih baik juga akan membantu memperbaiki sosioekonomi penduduk di kawasan ini melalui pelbagai aktiviti ekonomi yang boleh dilakukan secara dalam talian dengan lebih lancar.
Oleh Hafeez Anuar