Pasukan tentera rejim Israel telah menahan sekurang-kurangnya empat rakyat Palestin, termasuk seorang lelaki berusia 86 tahun dan anak perempuannya, dalam siri serbuan agresif di seluruh wilayah Tebing Barat yang diduduki.
Menurut laporan agensi berita rasmi Palestin, Wafa, mangsa warga emas terbabit, Burhan Rashid Bani Odeh (86) bersama anak perempuannya (57), ditahan ketika tentera Israel menyerbu bandar Tammun, tenggara Tubas, serta menggeledah kediaman penduduk sebelum berundur.
Dalam serbuan berasingan, tentera rejim turut menahan seorang lelaki berusia 68 tahun di Nablus serta seorang lagi penduduk di Anata, timur laut Baitulmaqdis Timur. Operasi ketenteraan turut diluaskan ke beberapa kawasan lain termasuk Beit Sahour, Beit Jala, Al-Ubeidiya, Al-Shawawra, dan Za’atara di wilayah Bethlehem, manakala sekatan jalan raya diperketatkan di sekitar Ramallah dan Al-Bireh.
Peneroka Haram Serang Harta Benda dan Curi Ternakan
Di tengah-tengah ketegangan yang memuncak, lebih 200 peneroka haram Israel melancarkan serangan ganas ke atas pinggir bandar Al-Mazraa al-Sharqiya, timur Ramallah, dengan merosakkan sekurang-kurangnya empat kenderaan serta dua buah rumah sebelum penduduk tempatan bangkit mempertahankan diri dan memaksa mereka berundur.
Kumpulan peneroka haram itu turut menceroboh kawasan Silwad di timur laut Ramallah, di mana mereka bertindak merosakkan harta benda awam serta mencuri puluhan ekor ternakan penduduk.
Tebing Barat menyaksikan peningkatan ketara dalam siri serbuan, tangkapan sewenang-wenangnya, sekatan pergerakan, serta keganasan oleh peneroka haram sejak Oktober 2023. Dianggarkan seramai 750,000 peneroka Israel kini mendiami 156 penempatan haram dan 360 pos penempatan di seluruh wilayah yang diduduki itu, yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
Sumber: Agensi Anadolu (AA) via TRT World







