
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) telah meluluskan satu resolusi yang mendesak Amerika Syarikat (AS) untuk segera menarik balik keputusannya menyekat delegasi Palestin daripada menyertai sesi ke-81 perhimpunan tersebut secara bersemuka.
Menurut Kementerian Luar Palestin, resolusi itu mendapat sokongan padu apabila 152 negara mengundi menyokong. Kementerian tersebut menyifatkan sekatan yang dikenakan oleh AS itu sebagai satu pelanggaran yang jelas terhadap Perjanjian Ibu Pejabat PBB.
Susulan sekatan berkenaan, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas akan menyampaikan pidatonya di UNGA menerusi siaran video mengikut tarikh dan masa yang telah dijadualkan.
Kementerian Luar Palestin turut merakamkan penghargaan kepada negara-negara yang menaja dan menyokong resolusi tersebut. Undian itu disifatkan sebagai manifestasi penolakan masyarakat antarabangsa terhadap percubaan berterusan AS untuk menghalang penyertaan Palestin di pentas global.
Terdahulu pada Khamis, Washington mengumumkan lanjutan sekatan visa ke atas pegawai-pegawai Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Langkah itu secara langsung menghalang Abbas dan pegawai kanan Palestin yang lain daripada menghadiri mesyuarat peringkat tinggi di New York secara fizikal.
Jabatan Negara AS menjustifikasikan sekatan tersebut dengan mendakwa kepimpinan Palestin telah gagal memenuhi komitmen mereka serta melakukan tindakan yang menjejaskan prospek keamanan. Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Palestin menolak sekeras-kerasnya alasan tersebut dan menyifatkannya sebagai “tidak wajar”.
Sebagai rekod, sesi ke-81 Perhimpunan Agung PBB telah membuka tirainya pada 8 September lalu, manakala Perbahasan Agung peringkat tinggi dijadualkan bermula pada 22 September ini.
(Sumber: BERNAMA-Anadolu)






