SemasaSukan

Pemain gagal kekal momentum, Imigresen FC terlepas peluang catat kemenangan pertama

Imigresen FC (IFC) sekali lagi gagal mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Super apabila hanya mampu seri 2-2 menentang Sabah FC di Stadium Negeri Batu Kawan hari ini.

Ketua Jurulatih IFC, Yusri Che Lah, berkata pasukannya gagal mengekalkan momentum pada babak kedua walaupun telah mendahului, sekali gus memberi ruang kepada lawan untuk bangkit menyamakan kedudukan.

“Pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi, tetapi kelekaan selepas mendahului menyebabkan kami dihukum. Banyak perkara perlu diperbaiki kerana kami masih melakukan kesilapan sama pada awal permainan dan gagal mengekalkan rentak selepas rehat,” katanya selepas perlawanan.

Menurut Yusri, tanggungjawab terhadap keputusan itu bukan hanya dipikul pemain, sebaliknya beliau sendiri turut menanggungnya. “Kami mahu menamatkan perlawanan dengan kemenangan, tetapi rezeki belum memihak kepada kami,” tambahnya.

Walaupun IFC masih belum mencatat sebarang kemenangan selepas tujuh perlawanan, Yusri menegaskan pasukan tidak boleh berputus asa dan perlu memperbaiki kelemahan menjelang perlawanan akan datang.

“Pemain perlu bermuhasabah dan menilai kemampuan masing-masing. Kami tidak boleh terlalu tertekan, sebaliknya harus bangkit dan membina semula keyakinan jika ingin keluar daripada kedudukan semasa,” katanya.

Mengulas pertembungan menentang Penang FC pada 2 November ini, beliau mengakui pasukan lawan menunjukkan peningkatan prestasi dan mahu skuad The Mighty Tigers segera mencari momentum kemenangan.

Sementara itu, ketua jurulatih Sabah FC, Jean-Paul de Marigny, mengakui pasukannya bermula agak perlahan pada babak pertama sebelum bangkit dengan lebih agresif selepas rehat.

“Kami tidak cukup berani dan agresif pada awal permainan, tetapi saya menghargai semangat pemain yang bangkit dengan lebih baik pada separuh masa kedua. Itulah mentaliti yang kami mahu,” katanya.

Sabah FC kini berada di tangga kesepuluh Liga Super dengan empat mata, manakala IFC kekal di kedudukan tercorot dengan tiga mata selepas tujuh perlawanan.

Sumber: Bernama

Related Articles

Back to top button