DomestikSemasa

Pembangkang Gagal Guna Ruang Parlimen Perjuang Kepentingan Pendeposit TH — Penganalisis

Keputusan parti pembangkang bertindak keluar (walkout) daripada Dewan Rakyat semasa sesi penerangan menteri mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) Selasa lepas dilihat menjejaskan peranan mereka dalam memastikan semak dan imbang, khususnya bagi melindungi kepentingan 10 juta pendeposit institusi itu.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali, menyifatkan tindakan itu sebagai mengecewakan pendeposit yang mengharapkan wakil rakyat menggunakan ruang Parlimen untuk meneliti laporan berkenaan dan mendapatkan penjelasan daripada kerajaan.

Beliau berpendapat bahawa sewajarnya pihak pembangkang kekal di dalam Dewan Rakyat, mendengar penerangan menteri, dan mengemukakan pertanyaan secara langsung sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan.

“Peluang tersebut seharusnya digunakan oleh pihak pembangkang dengan meletakkan kepentingan awam mengatasi perbezaan politik,” katanya semasa dihubungi Bernama.

Mengulas alasan pembangkang yang menuntut kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mazlan menegaskan bahawa menteri yang dipertanggungjawabkan tetap berupaya memberikan penjelasan selaras dengan portfolio mereka.

Beliau juga memberi amaran bahawa tindakan memboikot perbahasan ini boleh membentuk persepsi bahawa pembangkang kurang bersungguh-sungguh memperjuangkan kepentingan pendeposit.

Senada dengan dapatan tersebut, Pensyarah Kanan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Dr Nazreena Mohammed Yasin, berpendapat bahawa penglibatan aktif Ahli Parlimen dalam perbahasan merupakan mekanisme yang lebih berkesan untuk menegakkan prinsip akauntabiliti.

Dr Nazreena menegaskan bahawa dalam isu yang mempunyai implikasi langsung terhadap kepentingan awam, wakil rakyat perlu memastikan sebarang pertanyaan mendapat jawapan dan tindakan susulan yang sewajarnya melalui mekanisme Parlimen.

Tindakan walkout tersebut melibatkan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dan Pengerusi PN Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar, selepas usul untuk menangguhkan mesyuarat tersebut ditolak.

Sidang khas Dewan Rakyat itu bertujuan mendengar penerangan menteri mengenai Laporan RCI TH serta usaha memulihkan kedudukan kewangan institusi tersebut susulan penemuan kelemahan dalam pengurusan dan operasinya bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Sumber Utama: BERNAMA

Related Articles

Back to top button