EkonomiSemasa

Pemberian khas Sabah dinaikkan 4.7 kali ganda

Oleh: Izz Nazaruddin, wartawan pelatih

KUALA LUMPUR : Pemberian khas kewangan kepada Negeri Sabah akan dinaikkan selepas merujuk perkara 112D yang mengatakan kajian semula pemberian khas kepada Negeri Sabah dan Sarawak.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kerajaan semalam, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah telah mencapai persetujuan pemberian khas itu meningkat sebanyak 4.7 kali ganda dari RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.

Jumlah pemberian khas juga akan meningkat setiap tahun bagi tempoh tahun 2023 hingga 2026.

Menurut kenyataan media itu juga, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan terus berhubung untuk kajian semula pemberian khas di bawah perkara 112D.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan terus berunding berhubung dengan tuntutan 40% daripada hasil Negeri Sabah dan menjalankan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan”

“Ia bertujuan untuk mendapatkan satu amaun pemberian khas baharu yang dapat mengimbangi keperluan negeri Sabah tanpa menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan”

“Sekiranya suatu amaun baharu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak berjaya dicapai sebelum tahun 2026, maka amaun baharu tersebut akan diguna pakai untuk menggantikan bayaran pemberian khas kepada negeri Sabah bermula tahun 2022,” katanya.

Tambahnya lagi, kajian yang berterusan juga merupakan sebahagian daripada hak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.

“Persetujuan ini adalah tanpa prejudis terhadap kewajipan dan hak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk meneruskan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara tersebut.

Ia mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan Kerajaan Negeri Sabah berhubung kos perkhidmatan Negeri”

“Kerajaan Negeri Sabah juga berhak untuk bergantung kepada formula asal seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob juga berkata perjanjian yang dicapai semalam merupakan lambang semangat perpaduan rakyat Malaysia.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button