Pemenang Anugerah Kajai 2014 meninggal dunia
SHAH ALAM: Bekas wartawan yang juga pemenang Anugerah Kajai 2014, Wan Noor Hayati Wan Alias, 42, atau lebih dikenali sebagai Wanti disahkan meninggal dunia kerana menderita radang paru-paru, pada Isnin.
Berita pemergian arwah itu dikongsi oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Wanti sedang uzur akibat penyakit yang ditanggungnya dan terpaksa mengurus kehidupan bersendirian di rumah sewa di Taman Kajang Utama, Kajang.
Difahamkan sebelum ini Wanti dirawat di Hospital Putrajaya kerana kekurangan oksigen dan disahkan dijangkiti Covid-19.
Tahap kesihatannya mula merosot dan sering menerima rawatan di Hospital Serdang dan Hospital Kajang dipercayai kesan sindrom Covid-19 berpanjangan.
Sahabatnya, Fatihah Zakinan, 35, mengatakan bahwa Wanti tidak memiliki pendapatan kerana telah berhenti bekerja.
“Keadaan Wanti agak lemah dan perlu dipantau setiap hari.”
“Saya dan rakan yang lain menguruskan diri Wanti sejak dia jatuh sakit,” ceritanya.
Fatihah juga memberitahu bahawa Wanti sebelum ini terpaksa meneruskan kehidupan dengan menggunakan hasil sumbangan ikhlas orang ramai untuk melanjutkan rawatannya di hospital.
Selain pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Wanti pernah menjadi wartawan untuk Berita Harian dan Media Variasi.
Arwah juga meraih penghargaan Anugerah Kajai, iaitu penghargaan tertinggi dalam bidang kewartawanan di Malaysia yang diberikan oleh Malaysian Press Institute (MPI).
إنَّا ِللهِ وإنَّا إلَيْهِ رَاجِعُوْن