DuniaPalestin

Penceroboh Yahudi setuju beredar dari Givat Eviatar

Tentera Israel kekal di penempatan itu, beberapa bangunan baharu dibiarkan kunci

BAITULMAQDIS : Pendatang Yahudi yang menceroboh dan menetap di kawasan Givat Eviatar, Tebing Barat, bersetuju untuk meninggalkan kawasan itu dalam masa terdekat.

Menerusi perjanjian bersama Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, mereka akan meninggalkan penempatan Eviatar itu dalam tempoh beberapa hari lagi.

Terdahulu, penempatan haram di kawasan bukit berhampiran Bandar Nablus itu dibangunkan tanpa permit kerajaan Israel pada Mei lalu dan kini ia didiami lebih 50 keluarga.

Tindakan itu juga telah menyebabkan pertembungan bersama rakyat Palestin yang bertegas untuk terus memperjuangkan tanah hak milik mereka.

Pegawai Kementerian Pertahanan Israel, yang menguruskan penempatan itu, berkata keluarga yang menetap di kawasan terbabit bersetuju untuk beredar pada hujung minggu ini.

Bagaimanapun, katanya, tentera Israel akan kekal di situ dan kerja ukur tanah akan dilakukan untuk mengenal pasti sama ada penempatan disokong kerajaan Israel akan dibangunkan di situ.

Pada Rabu, timbalan datuk bandar Beita, Moussa Hamayel, berkata penduduk perkampungan itu akan meneruskan protes sehingga tanah itu dikembalikan kepada mereka.

“Kami akan terus aktiviti popular (protes) sehingga penempatan itu dialihkan dan tanah berkenaan dikembalikan kepada kami,” katanya dalam temubual bersama Reuters.

Sejak penempatan itu dibangunkan, tentera Israel telah menembak mati lima rakyat Palestin ketika melakukan protes, demikian menurut pegawai Palestin.

Bagaimanapun, tentera Israel enggan mengakunya dan menyatakan mereka akan menggunakan peluru hidup sebagai pilihan terakhir.

– Reuters

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar / AJ

 

Related Articles

Back to top button